JUMAAT PENGHULU SEGALA HARI (SAYYIDUL AYYAM) - REBUTLAH KELEBIHAN PAHALA YANG BERGANDA DENGAN MELAKUKAN AMAL KEBAIKAN TERUTAMANYA MEMPERBANYAKKAN SELAWAT DAN SEDEKAH


Hari Jumaat merupakan hari yang mulia di sisi umat Islam. Ini kerana, terdapat banyak hadis yang menceritakan berkaitan kelebihan yang ada padanya. Daripada Abi Lubabah bin Abd al-Munzir, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri." (HR Ahmad). 

Antara amalan utama yang dianjurkan kepada unat Islam apabila tiba hari jumaat adalah memperbanyakkan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW. Bahkan menurut setengah ulama kelebihan selawat pada hari jumaat adalah melebihi zikir-zikir yang lain termasuk setengah ulama berpandangan bahawa keutamaan selawat hari jumaat melebihi keutamaan membaca al-Quran. Kelebihan memperbanyakkan selawat ini dijelaskan oleh Rasululullah SAW dalam hadisnya. Sabda Rasulullah SAW:

Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (HR al-Baihaqi).

Dalam amalan masyarakat umat Islam di negara kita, apabila muncul sahaja hari Jumaat, ramai orang mengaitkannya dengan kebaikan bersedekah. Maka berlumba-lumba umat Islam yang  ingin meraih pahala bersedekah hari Jumaat. Namun, selain memperbanyakkan selawat kepada Nabi dan bersedekah, ada banyak lagi kelebihan lain yang umat Islam perlu tahu tentang hari Jumaat ini. 

Antara kelebihan lain adalah hari Jumaat adalah hari yang mustajab untuk berdoa dan hari diampuni dosa - dosa antara Jumaat tersebut dan jumaat sebelumnya. Dalam sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW: 

"Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan." (HR Tirmizi). 

Selain itu, kelebihan lain yang terdapat pada hari Jumaat selain keutamaan bersedekah adalah orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat sebagai tanda 'khusnul khatimah', hari berlakunya kiamat dan ia merupakan hari yang paling mulia di antara kesemua hari. Ini kerana terdapat beberapa peristiwa yang berlaku di hari Jumaat. Antaranya: 

• Allah SWT ciptakan Adam A.S 

• Nabi Adam A.S dimasukkan ke dalam syurga. 

• Nabi Adam A.S diturunkan dari syurga menuju bumi. 

• Allah mewafatkannya Nabi Adam A.S. 

Maka dengan perkongsian ini, diharapkan semua umat Islam dapat mengambil pengajaran daripada kelebihan ini. Bukanlah bermakna kita tidak boleh melakukan kebaikan pada hari lain. Tetapi hari Jumaat merupakan hari yang afdhal bagi umat Islam dan digalakkan melakukan kebaikan seperti memperbanyakkan selawat, bersedekah dan membaca surah al - kahfi. Semoga kita sama-sama merebut ganjaran kelebihan yang ditawarkan pada hari Jumaat yang mulia ini. 

Sumber: Portal Mingguan Wanita (5 Disember 2019)

Comments