Setiap daripada manusia di dunia ini dicipta untuk saling memberi dan menerima. Bukan itu sahaja, fungsi utama manusia di dunia ini adalah untuk saling memudahkan urusan di antara satu sama lain. Sebenarnya, percaya atau tidak, inilah pertolongan daripada Allah SWT kerana kita pernah memudahkan urusan orang di sekeliling kita suatu masa dulu. Malah, setiap perbuatan yang baik walau sekecil zarah pasti akan dibalas juga dengan kebaikan. Rasulullah pernah ditanya tentang amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Amalan yang paling dicintai Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke hati seorang Mukmin, atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (HR At – Thabrani).
Ambil contoh di dalam isu banjir yang melanda Malaysia pertengahan Disember lalu, bagaimana setiap daripada individu ataupun berkumpulan mengambil iniasiatif membantu mangsa-mangsa banjir dalam meringankan beban mereka dengan menyediakan beberapa keperluan harian. Bukan itu sahaja, ada sesetengah daripada mereka memudahkan urusan mangsa-mangsa banjir dengan membantu membersihkan kediaman, menyusun semula perabot dan perkakas rumah dan membeli atau menyumbang peralatan rumah baru untuk memudahkan kehidupan para mangsa banjir.
Walaupun sedikit kebaikan yang kita lakukan tetapi Allah SWT memberikan ganjaran sehingga ke akhirat. Mungkin dulu kita payah memberi bantuan, hari ini kita cuba lakukan. Mulakan dulu dengan perkara yang mudah seperti menghadiahkan sebuah senyuman yang mampu menenangkan hati yang gundah. Umat Islam dianjurkan untuk saling tolong menolong dan memudahkan urusan orang lain. Dengan demikian, Allah SWT akan melepaskan dirinya dari satu kesusahan pada hari kiamat kelak, serta akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya di dunia dan akhirat." (HR Ibnu Majah).
Sumber: Sinar Harian (11 April 2019)
Comments
Post a Comment