PENANGGUHAN IBADAH UMRAH ANTARA TUNTUTAN IBADAH DAN KEWAJIPAN MENJAGA KESELAMATAN DIRI DAN KEMASLAHATAN UMMAH
Setelah Kerajaan mengumumkan tarikh penangguhan ibadah umrah buat jemaah Malaysia bermula pada 8 Januari ini berikutan peningkatan kes varian Omicron Covid-19, ramai yang melahirkan kekesalan. Tidak kurang juga ada yang menzahirkan perasaan amarah mereka kerana telah rugi dari segi perbelanjaan tambang pergi dan balik serta penginapan di sana. Difahamkan sebahagian Agensi Pelancongan Umrah dan Haji yang terpaksa menanggung kerugian sehingga RM60 juta dalam tempoh sebulan ini.
Kita bersimpati dengan travel agen yang terpaksa mengalami kerugian akibat penularan semula virus covid di kedua tanah suci yang di luar jangka ini. Namun, keputusan kerajaan untuk menangguhkan dulu ibadah umrah adalah berikutan penularan jangkitan virus covid Omicron yang membahayakan keselamatan diri jemaah. Pertimbangan mengenai keselamatan jemaah dan kebarangkalian merebaknya virus tersebut di negara kita akibat jemaah yang positif covid adalah besar. Jika dilihat daripada rekod Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan seramai 1306 jemaah umrah sehingga hujung tahun lepas telah dikesan positif covid dan 750 kes disahkan dijangkiti variant Omicron.
Oleh itu, usaha penangguhan ibadah umrah terpaksa dibuat sebagai usaha mencegah sebelum penularan virus covid ini menjadi lebih serius dan sukar dikawal. Penangguhan ini adalah selaras dengan syariat Islam iaitu melakukan pencegahan demi menjaga kemaslahan ummah. Hal ini telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW yang menerangkan di dalam beberapa hadis tentang kewajaran untuk menjauhi daripada tempat-tempat yang terkena penyakit berjangkit. Sabda Rasulullah SAW:
“Sekiranya kamu mendengar tentang (penyebaran) wabak di sesuatu tempat, maka janganlah kamu masuk. Dan sekiranya kamu sudah berada dalam kawasan (penularan wabak) tersebut, maka janganlah kamu keluar darinya.” (HR Bukhari).
Seperti sebuah kisah di zaman Rasulullah SAW, apabila Saidina Umar al – Khattab membatalkan niat untuk memasuki Negara Syam (Syria) pada waktu itu kerana tersebarnya wabak. Maka pada waktu itu, Saidina Umar meminta untuk berbincang dengan para sahabat daripada kalangan Ansar dan Muhajirin. Akhirnya Saidina Umar memutuskan untuk tidak meneruskan niat untuk ke Negara Syam atas faktor keselamatan. Begitu jugalah yang harus dititikberatkan oleh kita sebagai umat Islam. Sedangkan sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Umar pun mengelak dari masuk ke tempat berwabak, atas alasan apa kita untuk meneruskan perjalanan kita ke tempat berkenaan? Sedangkan Kerajaan Arab Saudi juga sudah mewartakan semula pemakaian topeng muka dan penjarakan solat di Makkah. 11.76% jemaah Malaysia telah dikesan positif dan 750 daripadanya disahkan berkemungkinan mempunyai simptom Omicron, apakah kita bersedia untuk menjadi tambahan jumlah tersebut?
Ingatlah, antara tuntutan ibadah dan kewajipan menjaga keselamatan diri yang mana perlu diutamakan? Ibadah memang satu keutamaan, tetapi sekiranya sesuatu ibadah itu akan mengakibatkan pihak lain mendapat penyakit berjangkit, adakah kita akan mendapat keredhaan Allah SWT? Bersabarlah! Biarlah kita menanggung kerugian sementara daripada kita mendapat dosa dengan membawa penyakit kepada orang lain. Mudah-mudahan Allah menggantikan kerugian dan kesedihan yang kita tanggung dengan pahala yang berlipatkan ganda di atas kesabaran kita itu. Sedangkan di zaman Rasulullah SAW sendiri setelah berlakunya penularan wabak akan segera dikuarantin, inikan pula di zaman kita. Jauhi penyakit berjangkit. Daripada Abi Sirmah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang memudaratkan orang lain, maka Allah akan mendedahkan mudarat padanya. Barangsiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkan urusannya.” (HR At - Tirmizi).
Sumber: 40 Hadis tentang Wabak Penyakit, Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Comments
Post a Comment