TREND ‘UNBOXING’ PENGANTIN BUKTI PENYEBARAN PEMIKIRAN SESAT LIBERAL MELALUI MEDIA SOSIAL SEMAKIN MEMPENGARUHI ANAK MUDA ISLAM DI NEGARA INI

 

Tiktok merupakan aplikasi media baharu yang semakin rancak mendapat tempat di hati anak muda. Aplikasi ini berupaya untuk mencipta sesuatu trend atau ‘challenge’ bagi para penggunanya, kemudian kebanyakan pengguna yang menerima ‘challenge’ tersebut akan menjadi ‘trending’ dan memperoleh jumlah penonton yang ramai. 

Baru-baru ini tular pula ‘challenge’ atau trend ‘unboxing’ pengantin di Tiktok. Trend ini memaparkan pasangan baru kahwin menunjukkan suami membantu isteri menanggalkan hiasan dan tudung isteri secara perlahan-lahan .Di negara Barat perkara ini adalah sesuatu yang normal dalam masyarakat, namun isu mula timbul apabila pengantin-pengantin muda yang beragama Islam khususnya di Malaysia turut mengikut trend ini dan disebarkan di laman media sosial masing-masing untuk tatapan umum. Perbuatan ini secara jelasnya haram di sisi Islam dan bukan sahaja sangat memalukan, menjatuhkan maruah Islam, malah secara tidak langsung boleh mempengaruhi kelompok lain (yang tidak berkahwin) ke arah kemaksiatan.

Perkara ini memperlihatkan bahawa golongan anak muda Islam khususnya tidak memahami erti sebenar sesebuah perkahwinan yang sepatutnya diiringi dengan tanggungjawab. Umpamanya, seorang suami perlu membimbing isteri ke jalan kebaikan dan diredhai Allah termasuklah menjaga aurat isteri dari tatapan umum. Syariat Islam sudah begitu cantik untuk dinafikan dimana ekslusif aurat isteri hanya untuk suaminya sepatutnya menjadi kebanggaan kepada sang suami. Apabila sudah menjadi tatapan umum dan tersebar luar di ruang media sosial, bukankah suami tersebut boleh dianggap dayus?

Sedangkan Islam sangat menitikberatkan tentang sifat malu pada diri seseorang, begitu jugasuami isteri. Hikmahnya supaya tidak timbul fitnah (syahwat) kepada orang lain, rasa tidak senang orang sekeliling yang melihat atau mempengaruhi orang yang belum ada hubungan sah untuk turut melakukan perbuatan yang dihalalkan kepada suami isteri. Dek kerana terlalu bebas mengikut trend tanpa ada batas yang sepatutnya, agama digadaikan tanpa sedar. Inilah strategi halus golongan Barat yang meracuni pemikiran anak muda Islam dengan fahaman liberal sedikit demi sedikit. Jika tidak diambil cakna, tidak mustahil ramai umat Islam akan terpesong kelak.

Sumber: al-Bayan Siri 12 (2017), Dr. Zulkifli al-Bakri dan Kosmo- 11 JAN 2021


Comments