AJARAN SELAIN DARIPADA AJARAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH BOLEH MENJERUMUSKAN SESEORANG KEPADA KESESATAN - BERHATI-HATILAH!!!

 


Islam mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) merupakan fahaman yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan padanya sama ada dari segi akidah, ibadah mahupun akhlak. Antara ciri utama pegangan akidah ASWJ adalah berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber utama iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias.

Sebarang ajaran yang bercanggah dengan fahaman ASWJ sama ada didukung oleh orang Islam atau bukan Islam walaupun mereka mendakwa ajaran yang diajarkan tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam yang benar tetapi menolak empat sumber hukum tersebut adalah dikira sebagai ajaran sesat kerana ia bertentangan dengan dasar fahaman ASWJ yang merujuk kepada empat sumber utama hukum dalam Islam dari sudut akidah, syariat dan akhlak.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengamalan atau syariah ialah ibadah, ritual atau pengamalan yang diada-adakan menyalahi sumber syariat. Sebagai contoh, mengamalkan solat wajib kurang atau lebih dari lima waktu, menunaikan haji bukan di Makkah atau dilaksanakan pada bulan selain daripada bulan haji dan sebagainya.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengabdian atau akhlak antara hamba bersama Tuhannya seperti pengagungan berlebihan terhadap ketua, guru atau tokoh yang membawa ajaran tersebut atau dianggap mempunyai keistimewaan yang melebihi kedudukan kemanusiaan. Malah ada yang menyamakan dengan kedudukan nabi-nabi atau Rasul-rasul atau lebih teruk lagi menyamakan dengan kedudukan Tuhan. Kebanyakan kefahaman atau ajaran sesat dalam kategori ini berselindung di bawah nama tasawuf dan tarekat.

Mereka menisbahkan nama kumpulan dengan nama-nama tarekat sufi yang muktabar tetapi hakikatnya mereka tiada kaitan langsung dengan aliran tarekat tersebut. Dakwaan palsu tersebut kebiasaannya hanya boleh dikesan oleh mereka yang mempunyai asas-asas agama yang kukuh iaitu pengesanan dari sudut wujud atau tidak pengijazahan dan sanad sesebuah aliran tarekat yang menjadi sandaran.

Bagi mereka yang kurang ilmu agamanya, seharusnya rujuk dahulu pada tok-tok guru yang sudah terkenal dengan ilmu agamanya. Jangan mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang pelik. Apa yang penting adalah menuntut ilmu itu biarlah dari asasnya, apabila asasnya sudah kukuh barulah kita mendalami ilmu agama itu secara terperinci. Dikhuatiri apabila salah percaturan, maka akan mudah terpesong dengan ajaran-ajaran sesat.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor – 2 MEI 2021.


Comments