AJARAN SESAT WALI TUJUH - MENGAMALKAN ILMU KEBATINAN YANG BERCANGGAH DENGAN AKIDAH DAN BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA
Baru sahaja lenyap seketika kisah ajaran sesat Gerakan Akhir Zaman (GAZA) dan kisah kemunculan Imam Mahdi di Sabah, kini muncul pula ajaran sesat baru dan lebih ekstrem kerana dikaitkan dengan pengamalan ilmu kebal sebagai medium untuk menarik sejumlah pengikut ajaran sesat tersebut yang dikenali sebagai ajaran Wali Tujuh.
Ajaran Wali Tujuh yang dibawa oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Kepulauan Borneo Sabah dengan diketuai oleh seorang guru dan dua orang pembantu secara tepatnya telah menjadikan sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kinabatangan sebagai pangkalan untuk menyebarkan idelogi sesatnya terutama di kalangan warga asing yang bekerja di ladang sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan. Hasilnya, ajaran sesat Wali Tujuh ini telah berjaya mengumpul seramai 20 orang pengikut.
Walaupun, ketiga-tiga suspek yang terlibat telah ditangkap untuk disoal siasat, namun perkara ini tidak boleh dipadang remeh lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal akidah dan penyebarannya berlaku di dalam Malaysia. Ilmu kebal yang menjadi amalan utama kumpulan ajaran sesat ini dikhuatiri akan menghasilkan sebuah kumpulan radikal yang ekstrem dan akhirnya mampu untuk mengganggu gugat keselamatan negara. Hasil tangkapan yang mempamerkan pelbagai senjata seperti pisau, senjata plastik dan tangkal menguatkan lagi dakwaan bahawa ianya sebuah kumpulan yang ekstrem.
Agama Islam sekira ianya difahami secara tepat sebenarnya sangat mudah kerana asas agama Islam itu adalah mengikut. Golongan yang berjaya adalah golongan yang mengikuti al-Quran dan as-Sunnah. Prinsip dan asasnya telah diletakkan oleh Nabi Muhammad SAW dan sebarang tokok tambah boleh menyebabkan kesesatan. Di peringkat individu, ilmu agama mestilah mantap di dada. Begitu juga dengan keluarga, pembinaan keluarga yang Rabbani dan kenal agama itu perlulah diwujudkan,
Jika benteng asas dalam diri sudah kuat, maka datanglah apa jua anasir-anasir yang sesat dan negatif, nescaya tidak akan tergugat akidah seseorang Islam itu. Berhati-hati dalam memilih rakan atau kumpulan-kumpulan yang berasaskan keagamaan kerana kadangkala ada yang menjadikan agama sebagai satu medium untuk lebih menyesatkan. Pastikan dahulu asal-usul tok guru, barulah membuka hati untuk mendalami ilmu agama yang diajar. Jangan mudah terpedaya dengan ajaran-ajaran sesat yang semakin berleluasa sekarang ini.
Sumber: Astro Awani – 03 FEB 2022
Comments
Post a Comment