BERSEDEKAHLAH DALAM KEADAAN SENANG ATAU SUSAH KERANA ALLAH SWT MENJAMIN ORANG YANG BERSEDEKAH TIDAK AKAN MISKIN MALAH REZEKINYA SEMAKIN BERTAMBAH


 


Bila mana kita bercakap tentang sedekah, ada sebahagian pihak yang bersenang hati dan ada pula pihak yang berat hati dengan perkataan tersebut. Ada pula pihak yang bersedekah semata-mata hanya ingin nama mereka disebut-sebut oleh orang ramai sebagai dermawan. Ada sebahagiannya pula yang merasakan bahawa apabila mereka sudah bersedekah sekali, itu sudah memadai. 

Tahukah kita bahawa sedekah ini tidak boleh berhenti atau dilengahkan? Dalam satu hadis sahih, Abu Hurairah RA berkata: 

“Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya.” Lalu, Rasulullah SAW menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menundanya hingga tiba nyawamu berada di halkum. Lalu kamu berkata, yang ini milik si polan dan yang itu milik si polan. Padahal harta itu sudah menjadi milik si polan (ahli warisnya).” (HR al – Bukhari).

Sebenarnya, ketika hendak melakukan sedekah, kita tidak perlu menunggu sehingga kaya atau berharta. Walaupun dengan setengah tamar pun, kalau diberi kepada orang lain Allah SWT telah mengiktiraf sedekah kita. Seperti dalam hadis di atas, Nabi SAW menyatakan, sedekah terbaik adalah ketika diri kita dalam keadaan sihat dan merasa berat untuk bersedekah (merasa kedekut). Maksudnya jika seseorang itu merasa berat atau dalam keadaan kedekut untuk bersedekah, namun dia tetap berusaha untuk melakukan sedekah meskipun berat, maka  sedekah seperti itu adalah sedekah yang cukup besar ganjarannya. Selain bersedekah, pada masa sama dia melawan sifat mazmumahnya iaitu kedekut. Dengan cara itu, kita boleh melawan sifat buruk kita dan memperbaikinya dengan sifat yang mulia.

Ketahuilah, bahawa Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa jika harta yang kita miliki kita gunakan sebahagiannya untuk bersedekah maka harta kita tersebut tidak akan pernah berkurang ataupun akan membuat diri kita menjadi miskin. Malah harta dan razeki kita akan semakin bertambah. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan pernah berkurang harta yang disedekahkan, kecuali ia bertambah, bertambah dan bertambah” (HR. Tirmidzi).

Yakinlah bahawa Allah SWT Maha Pemberi Rezeki dan Allah SWT menjamin razeki umatNya yang senantiasa berbuat kebaikan dengan sedekah kepada orang yang memerlukan. Allah SWT berfirman:

“Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (QS Saba': 39).

Bukan itu sahaja, amalan bersedekah sebenarnya dapat memperkayakan hati, membersihkan harta serta memanjangkan usia manusia. Nabi SAW turut berpesan, sekiranya hendak bersedekah, jangan ditunggu sehingga nyawa berada di hujung halkum. Kerana ketika malaikat maut sudah bersedia untuk mencabut nyawa, pada masa itu mereka merayu supaya kematiannya ditangguhkan kerana ingin bersedekah. Firman Allah SWT:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya..” (QS al – Munafiqun: 10).

Ingatlah, jangan pernah berhenti atau lengah dalam bersedekah. Bagi mereka yang bersedekah, mereka akan mendapat keberkatan kerana akan didoakan oleh orang yang menerima sedekah untuk kesejahteraan di dunia dan akhirat. Oleh itu, segeralah bersedekah selagi hayat dikandung badan.

Sumber: Harian Metro (21 Ogos 2019).

Comments