CEGAH KEMUNGKARAN DI MEDIA SOSIAL - BERSABARLAH DALAM MELAKSANAKAN 'AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR' KERANA ALLAH SWT MENJANJIKAN PAHALA YANG BESAR BAGI MEREKA YANG SABAR

 


Mencegah kemungkaran adalah satu kewajipan bagi seorang Muslim saat dia melihatnya. Walaupun ianya adalah fardhu kifayah yang bermaksud akan gugur kewajipan apabila sebahagian yang lain telah mencegahnya namun kita perlu faham selagi mana kemungkaran itu tidak dicegah sepenuhnya maka kewajipan itu masih terletak diatas bahu setiap daripada kita. Firman Allah SWT:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (QS Ali ‘Imran: 110).

Saban hari kita melihat banyak kemungkaran berlaku di platform media sosial. Tidak kiralah sama ada di aplikasi Facebook, Instagram, Twitter dan Tik Tok, banyak sekali video-video dan juga kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan berunsurkan kelucahan, fitnah yang melampau dan mengaibkan sesama sendiri. Situasi ini menjadi semakin merebak apabila timbul pula komen tidak berasas yang mencetuskan api kemarahan sehingga menyebabkan pergaduhan secara maya berlaku. Hasilnya, cacian dan makian dengan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut sehingga memberi persepsi buruk kepada agama Islam.

Namun, terlihat juga ada usaha sebahagian umat Islam yang mahu mencegah kemungkaran ini walaupun pada akhirnya mereka dikeji. Akan tetapi, mereka tetap bersabar dan meneruskan usaha dakwah mereka dalam mencegah kemungkaran di media sosial dalam kalangan umat Islam. Mereka meneruskan usaha mereka dalam mendidik umat Islam akhir zaman ini supaya kembali semula kepada agama Islam dan mengamalkan nilai hidup sebagai Muslim tanpa perlu mengikut trend terkini yang boleh dikatakan terlalu melampau dan semakin jauh daripada akhlak Islam. Dalam situasi ini, apa yang perlu dilakukan oleh kita adalah dengan menyokong usaha pihak-pihak berkenaan demi menjayakan konsep ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’. Kita sepatutnya bersama-sama mereka dalam memberikan pendedahan mengenai buruk dan baik sesuatu tindakan diambil. 

Walau bagaimanapun, dugaan dan cabaran dikeji dan dicaci itu pasti juga akan mucul apabila kita melakukan kebaikan. Tidak mengapa, biarlah kita dikeji asalkan kita berjuang mempertahankan agama Allah SWT dan mengajak umat Islam kembali ke pangkal jalan. Usaha kita ini sememangnya tidak akan mendapat ganjaran di dunia namun di akhirat Allah SWT akan memberikan ganjaran yang sangat besar bagi orang yang bersabar dalam mencegah kemungkaran akhir zaman ini. Firman Allah SWT:

“Mereka itu akan diberi balasan dengan tempat yang tinggi (dalam surga) atas kesabaran mereka, dan di sana mereka akan disambut dengan penghormatan dan salam.” (QS al – Furqan: 75).

Ingatlah, Allah SWT telah memberikan peringatan serta menjanjikan azab yang pedih kepada manusia bukan hanya kepada mereka yang melakukan kezaliman, malah orang beriman juga tidak terlepas daripadanya. Jenayah dan maksiat di media sosial menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Maka dengan itu, kita haruslah bersabar dalam mencegah kemungkaran yang berlaku di media sosial. 

Sumber: Berita Harian (7 Mei 2021)


Comments