EGO (KIBIR) PEROSAK SILATURRAHIM - JAUHILAH SIFAT EGO (KIBIR) KERANA IA ADALAH SIFAT MAZMUMAH YANG AMAT DIBENCI OLEH ALLAH SWT DAN AKAN MENYEBABKAN PERPECAHAN UMMAH
Perkataan 'kibir' mengikut istilah bahasa Melayu ertinya sombong atau angkuh. Manakala di dalam pengertian istilah moden pula disebut sebagai ego. Mengikut syariat Islam, erti 'kibir' ialah membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan dan keistimewaan sehingga lupa kepada Allah SWT dan menderhakainya. Sifat 'kibir' atau sombong atau angkuh atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia adalah sifat batin yang paling keji dan jahat (sifat mazmumah). Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (HR Muslim).
Ego adalah perosak silaturrahim. Ia pastinya membawa kepada sikap mementingkan diri sendiri. Ego, sombong, takbur atau membanggakan diri adalah sifat mazmumah yang amat dibenci Allah SWT. Mereka yang ego akan menganggap dirinya lebih istimewa dan mulia seterusnya mementingkan diri sendiri. Bayangkanlah, apakah yang akan berlaku kepada umat Islam keseluruhannya jika ramai dalam kalangan kita terdiri daripada manusia yang ego? Sanggup menyimpan dendam bertahun lamanya dan menutup sebarang pintu rundingan dan kemaafan.
Lihat sahaja keadaan hari ini, berapa ramai umat Islam yang sanggup memusuhi saudara seagama mereka dan lebih memilih untuk bersama musuh agama Islam yang lagi terang dan nyata. Konon dengan alasan apabila bersama mereka, lebih selamat jika dibandingkan saudara seagama. Nauzubillahiminzalik! Adakah kita tahu agenda di sebalik kebaikan mereka? Mungkin musuh-musuh Islam itu sengaja berbuat baik untuk mendapatkan sesuatu, apabila tujuan itu telah dicapai mungkin mereka akan membuang kita seperti kain buruk. Dalam Islam, terdapat beberapa ancaman terhadap mereka yang memutuskan hubungan silaturrahim. Antaranya, orang yang memutuskan silaturrahim tidak diterima amalannya. Ini seperti hadis yang disabdakan oleh Baginda SAW:
"Seluruh amal diperlihatkan pada hari Khamis dan Isnin maka pada hari itu Allah SWT memberikan keampunan kepada setiap orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun kecuali seseorang yang bertengkar antara dia dan saudaranya. Maka dikatakan kepada malaikat: Biarkanlah kedua orang." (HR Muslim).
Ingatlah, kita sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran al – Quran dan As – Sunnah. Kita seharusnya lawan sifat ego ini dengan mengamalkan sifat tawadduk. Kerana inilah penyelesaian terhadap permasalahan yang timbul melalui sifat ego kerana tawaduk berperanan melenyapkan sikap ego, berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri. Orang yang tawadduk akan bersikap tenang, sederhana dan bersungguh-sungguh serta menjauhi perbuatan sombong. Orang yang tawadduk akan patuh dan taat menerima kebenaran daripada sesiapa pun dan tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi daripada orang lain. Allah SWT sangat membenci orang yang ego, sombong dan bongkak. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong." (QS An-Nahl: 23).
Sumber: Harian Metro (17 Februari 2022).
Comments
Post a Comment