ISTIQAMAHLAH DALAM MELAKUKAN IBADAH MESKIPUN SEDIKIT KERANA IA LEBIH DICINTAI OLEH ALLAH SWT

 

Di antara sifat terpuji yang menjadi perhiasan wajib bagi orang Mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT ialah beristiqamah dalam beramal soleh. Ada yang mengatakan kita harus lebih banyak melakukan amal dan ibadah dalam bulan-bulan tertentu seperti contoh bulan Ramadan kerana di dalam bulan tersebut terdapat banyak fadhilatnya. Ya, memang benar. Akan tetapi kita juga harus melakukan amal dan ibadah di bulan-bulan lain secara istiqamah kerana dengan sifat istiqamah itulah yang lebih mendekatkan kita dengan Allah SWT. FirmanNya:

“Maka hendaklah engkau wahai Nabi Muhammad sentiasa beristiqamah tetap teguh di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (QS Hud: 112).

Jelas daripada mafhum ayat al-Quran tersebut, istiqamah membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendiriannya yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah jua pun. Biar apa pun yang terjadi dan apa yang bakal dihadapinya, pendiriannya yang asal tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasadnya akan menjadi bahan pertaruhan. Yang penting baginya, pendiriannya untuk menjayakan cita-citanya yang suci akan tercapai dan berjaya juga akhirnya. 

Selain daripada beristiqamah mempertahankan kebenaran dan kepercayaan yang bertakhta di jiwa sanubarinya, seorang Muslim juga dituntut supaya beristiqamah melaksanakan segala perintah Allah dan juga menjauhi segala laranganNya. Beristiqamah dalam mengerjakan amalan soleh yang dianjurkan Islam adalah amalan yang amat afdal dan disukai di sisi Allah SWT. Seperti dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

"Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit." (HR Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya agama Islam menuntut kita untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan segala amal kebajikan mahupun dalam ibadah. Oleh itu, apa yang kita amalkan dan kerjakan hendaklah diteruskan dan diamalkan selalu secara konsisten agar ia menjadi pembakar semangat supaya kita terus berusaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Seorang Muslim yang beristiqamah akan merebut setiap peluang dan kesempatan yang mendatang tanpa berlengah-lengah kerana ingatannya sentiasa segar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa hidup kamu sebelum datangnya masa mati kamu; masa sihat kamu sebelum datangnya masa sakit kamu; masa lapang kamu sebelum datangnya masa sibuk kamu; masa muda kamu sebelum datangnya masa tua kamu dan masa kaya kamu sebelum datangnya masa miskin kamu." (HR Ahmad).

Apa yang boleh dirumuskan dalam hal ini, sifat istiqamah adalah sifat yang terpuji di sisi Allah SWT sehingga ia mengangkat darjat ketakwaan seseorang Muslim dan martabat umat Islam sebagai generasi terbaik serta contoh kepada umat lain. Oleh itu, amatlah wajar sifat istiqamah menjadi suatu perhiasan wajib bagi setiap Muslim agar dia beroleh kejayaan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Bukan itu sahaja, dengan selalu bersikap istiqamah dalam beramal juga menjadikan hidup seseorang Muslim itu dipayungi rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT.

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama, Brunei Darussalam (KHEUB)


Comments