ISU 'BREASTFEEDING' DI TEMPAT AWAM - JAGALAH MARUAH DIRI DAN AURAT KERANA IA ADALAH KEWAJIPAN PALING UTAMA SEBAGAI SYARAT MENJADI WANITA YANG SOLEHAH


Menjadi seorang ibu adalah hal yang terindah bagi setiap wanita. Dari saat hamil, melahirkan hinggalah membesarkan, ia momen yang tidak mampu digantikan dengan harta yang banyak. Ini termasuklah dengan hal menyusukan. 

Menyusukan anak adalah antara pengalaman terindah bagi seorang ibu. Buat insan yang bergelar ibu, inilah anugerah tidak ternilai yang Allah berikan kerana berlaku ikatan kasih sayang antara ibu dan anak serta hubungan antara mereka lebih erat semasa proses penyusuan. Akan tetapi, dalam kita menikmati proses itu, sebagai kaum wanita dan juga seorang Muslimah kita tetaplah berpegang teguh dengan ajaran Islam supaya memelihara aurat kita termasuklah menyusukan anak di tempat awam. Isu ini timbul apabila ada kontroversi seorang usahawan produk kesihatan terkenal yang dikatakan menyusukan anaknya di khalayak ramai tanpa ada perlindungan pakaian lain atau "nursing cover". Firman Allah SWT: 

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (QS An - Nur: 31). 

Menutup aurat dalam Islam adalah wajib. Dalam Islam, martabat dan maruah wanita dijaga dan diletakkan di kedudukan yang tinggi dalam apa juga perkara selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: 

"Wahai Asma’, sesungguhnya jika seorang wanita sudah mencapai usia haid (akil baligh) maka tidak patut baginya menampakkan bahagian tubuhnya kecuali ini dan ini (baginda menunjukkan muka dan telapak tangan).” (HR Abu Daud). 

Hari ini, di negara kita sudah banyak kemudahan yang disediakan untuk para ibu menyusukan bayi mereka. Di pusat membeli - belah misalnya terdapat tempat khusus yang disediakan. Jadi, ia memberikan suasana yang selesa kepada para kaum ibu. Bukan itu sahaja, kini terdapat juga solusi dan adab-adab dalam Islam yang boleh diikuti oleh para wanita terutamanya yang bergelar ibu utnuk menyusukan anak. Antaranya ialah mencari pakaian yang sesuai dan longgar, menggunakan 'nursing cover', menjaga aurat, membaca bismillah dan berzikir. 

Oleh itu, pemahaman dan kesedaran umat Islam berkaitan penyusuan ibu kepada anak di tempat awam amat penting. Islam tidak melarang seseorang ibu menyusukan anak di tempat awam selagi tidak mendedahkan aurat kerana pendedahan aurat adalah haram untuk tontonan umum dan ia merupakan isu yang perlu diambil berat. 

Menyusukan anak di tempat awam hukumnya harus dengan syarat aurat seorang ibu terpelihara dan tertutup. Selagi para ibu memenuhi syarat ini dan mengikut adab penyusuan yang betul, maka tiada masalah untuk seorang ibu menyusukan. 


Sumber: mstar.com.my

Comments