JADILAH WANITA YANG SOLEHAH DENGAN MENJAGA ADAB DAN MARUAH DI MEDIA SOSIAL KERANA WANITA SOLEHAH ADALAH SEBAIK-BAIK HARTA
Kehormatan wanita di dalam Islam amat tinggi kedudukannya. Sebelum kedatangan Islam, wanita menjadi warga kelas kedua di setiap tamadun dunia dan dianggap sebagai objek pemuas nafsu semata-mata. Datangnya Islam ke Tanah Arab membawa peranan yang besar dalam mengubah martabat seorang wanita bukan sahaja di Arab malah di seluruh dunia. Sehinggakan pembelaan terhadap kehormatan wanita ini menjadi sebab kepada tercetusnya peperangan yang besar dan terkenal iaitu Peperangan Bani Qainuqa’.
Namun, sangat mendukacitakan pada hari ini apabila sebilangan golongan wanita terutamanya para Muslimah kini seolah-olah hilang malunya di khalayak ramai apabila tanpa segan silu berperilaku kurang sopan di media sosial. Mana adab dan kehormatan kita sebagai seorang Muslimah? Firman Allah SWT:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;" (QS An - Nur: 31).
Sedangkan menjadi wanita yang solehah dengan menjaga maruah diri dan berakhlak dengan akhlak yang baik sebagai seorang wanita Islam adalah harta yang sangat bernilai bagi seorang lelaki. Rasulullah SAW bersabda:
"Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seseorang lelaki adalah wanita yang solehah." (HR Abu Daud).
Tidak dinafikan hidup manusia pada zaman ini harus selari dengan kecanggihan teknologi tanpa batasan. Akan tetapi sebagai seorang umat Islam apatah lagi sebagai seorang Muslimah yang berhijab, kita seharusnya ada batasan antara syariat agama dan kecanggihan teknologi. Tidak salah untuk berhibur di media sosial tetapi jangan sampai melampaui batas. Adakah dengan memakai hijab tetapi terkinja-kinja di media sosial dibenarkan oleh syarak? Jangan kerana demi mahukan follower yang ramai dan mahukan like yang banyak, maka kita sanggup menggadaikan kehormatan kita sebagai seorang Muslimah.
Ingatlah, Rasulullah SAW dan para sahabat sanggup memutuskan perjanjian dengan golongan Yahudi Madinah hanya kerana hendak membela martabat seorang wanita Islam. Jangan kita sia-siakan usaha Rasulullah SAW kerana ia mendatangkan kemurkaan yang besar bagi Allah SWT. Hendak berhibur di media sosial itu boleh, tetapi biarlah ke arah yang penuh mendidik dan bermanfaat. Jadilah wanita Islam solehah yang bijak, cerdik, pintar dan berani serta tahu menjaga kehormatan diri. Sabda Rasulullah SAW:
"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah." (HR Muslim).
Sumber: Harian Metro ( 16 Februari 2021)
Comments
Post a Comment