KENALI AJARAN SESAT - MENGAMALKAN RITUAL IBADAH YANG PENUH DENGAN AMALAN KHURAFAT DAN SYIRIK MESKIPUN MENGGUNAKAN AYAT AL – QURAN DI DALAMNYA - JANGAN MUDAH TERPEDAYA!!!
Di zaman ini, ramai sekali individu yang mengaku mampu mengubati dan mengusir sesuatu yang tidak baik dengan menggunakan kaedah rawatan Islam. Akan tetapi, kebanyakannya mempunyai cara dan ritual yang pelik dengan menggunakan ayat-ayat al – Quran. Sebagai contoh, upacara ritual 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin bersama 'Puteri Zaleha' Suliaha Abdul Hamid untuk menolak musibah banjir pada tanggal 4 Januari lalu di Teluk Intan mengundang pelbagai reaksi dan menimbulkan persepsi negatif tehadap imej Islam. Namun, amalan berkenaan dilihat bertentangan dan bersalahan dengan ajaran Islam yang suci walaupun disulami bacaan ayat al-Quran, zikir, selawat dan doa.
Tahukah kita amalan sebegitu sememangnya telah dijatuhkan sebagai amalan khurafat? Ini sebagaimana kenyataan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tarikh 9 Ogos 1996 mengeluarkan Garis Panduan Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam untuk diterima pakai di peringkat negeri di Malaysia dan dijadikan rujukan dalam mengeluarkan fatwa berkaitan pengharaman sesuatu ajaran terdapat unsur khurafat. Barangsipa yang terlibat dengan amalan ini maka sekaligus dia telah memalingkan imannya daripada Allah SWT dan tidak akan diampunkan dosa-dosanya. FirmanNya:
"Allah tidak ampunkan dosa syirik sementara Dia memaafkan dosa yang lain. Maka sesiapa yang mempersekutukan (syirik) kepada-Nya sesungguhnya dia melakukan dosa yang besar." (QS An – Nisa: 48).
Dalam hal ini, Islam mengajarkan kita supaya berserah diri dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT dalam berdoa serta berharap tanpa melalui suatu perantaraan pun. Agama Islam adalah suci dan murni daripada sebarang penambahan dan pengurangan dalam beramal serta beribadah kepada Allah SWT. Islam mengajar dan mendidik supaya beribadah dengan cara mengikut sunah Nabi SAW sepenuhnya. Bahkan, Rasulullah SAW telah memberi amaran dalam hadis Baginda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mengada-adakan dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak." (HR Muslim).
Ingatlah, jangan sesekali terpedaya atau terikut dengan amalan-amalan sebegini kerana ia sama sekali mengundang amarah Allah SWT. Kemajuan atau kemunduran masyarakat Islam adalah bergantung kepada kualiti peribadi sama ada keimanan mahupun pemikiran. Sekiranya kualiti keimanan dan pemikiran masyarakat Islam baik, mereka akan mengalami kemajuan. Sebaliknya, jika kurang baik, mereka akan mengalami kemunduran. Islam adalah agama yang sangat mementingkan kemurnian dan kesejahteraan akidah yang benar serta tegas terhadap perkara yang boleh merosakkan dan membatalkan akidah.
Sumber: Harian Metro (27 Januari 2022)
Comments
Post a Comment