KEPEMIMPINAN ADALAH AMANAH ALLAH - MENUNAIKAN AMANAH AKAN KE SYURGA, MENGKHIANATI AMANAH AKAN KE NERAKA - BERHATI-HATILAH!!!
Menjadi seseorang yang bertanggungjawab bukanlah semudah yang disangkakan. Banyak hal yang perlu difikirkan dan cara melaksanakannya pun perlulah bersistematik supaya kita tidak lari dari menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Orang yang bertanggungjawab adalah ciri manusia yang beradab. Manusia bertanggungjawab akan menyadari akibat baik atau buruk dari perbuatannya. Apabila dilihat, tanggungjawab merupakan salah satu kewajipan atau amanah yang harus dipikul atau dipenuhi, sebagai akibat perbuatan kita kepada orang lain, atau sebagai akibat dari perbuatan pihak lain kepada kita. Sabda Rasulullah SAW:
“Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Isteri juga pemimpin dalam mengendalikan rumah tangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumah tangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya.” (HR al-Bukhari).
Hadis di atas jelas menyatakan kepada kita bahawa setiap daripada kita ada tanggungjawab masing-masing dan kita bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang diamanahkan kepada kita. Menjadi orang yang amanah dan bertanggungjawab tidaklah mudah. Apatah lagi apabila ia melibatkan hal-hal yang besar seperti membangunkan negara. Oleh sebab itu, setiap daripada kita tidak kira tua atau muda masing-masing memainkan peranan dan tanggungjawab dalam memacu pembangunan negara demi kegemilangan ummah. Yang tua harus mengajar yang muda bagaimana untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, dan yang muda harus memikul amanah untuk menjalankannya. Maknanya di sini, tiada siapa yang terlepas dari menerima tanggungjawab terbabit.
Tahukah kita bahawa tidak sempurna iman seseorang itu jika tidak melaksanakan tanggungjawab? Bukan sahaja imannya tidak sempurna, malah umat Islam yang tidak bertanggungjawab juga akan menerima padah apabila dirinya tidak dihormati, selain menggugat keharmonian dan perpaduan. Rasulullah SAW bersabda:
“Kalian wajib berlaku benar maka sesungguhnya benar itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu membawa kepada syurga. Dan seseorang yang sentiasa bersifat benar dan mencari kebenaran akan tercatat di sisi Allah SWT bahawa dia seorang yang benar. Dan berhati-hatilah dengan pendustaan, maka sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan seseorang yang sentiasa berdusta dan mencari perkara dusta akan tercatat di sisi Allah SWT bahawa dia seorang pendusta." (HR Muslim).
Ketahuilah, Islam menyeru umatnya untuk terus berpegang kepada amanah dan menegakkan kebenaran dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Apabila timbul perasaan tanggungjawab dalam diri ketika menjalankan amanah, disulam pula dengan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi, semestinya ketenangan itu akan datang seiringan. Bukan itu sahaja, perpaduan ummah di kalangan umat Islam akan bertambah cemerlang dan gemilang.
Sumber: Sinar Harian (28 November 2019)
Comments
Post a Comment