"Malaysia, Do you want An Islamic State?" - MARIAM MOKHTAR MEMPOLITIKKAN ISU NEGARA ISLAM UNTUK MENARIK SOKONGAN RAKYAT KEPADA PEMBANGKANG YANG MEMPERJUANGKAN LIBERALISME


Islam adalah agama yang syumul dan merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Oleh yang demikian, umat manusia perlulah menjaga dan mentadbir bumi ini sebaiknya berlandaskan suruhan dan larangan Allah. Namun, umat manusia tidak semuanya dilahirkan beragama Islam, malah pluralisme agama ini telah menyebabkan jumhur ulama telah membahagikan negara kepada dua bahagian iaitu negara Islam dan negara kafir (al-Zuhaili 1998: 169).


Dalam melabelkan sesebuah negara itu Islam atau tidak semuanya bermula dari suatu pimpinan politik sesebuah negara tersebut. Menurut Ibn Qayyim, Negara Islam adalah sebuah negara yang didiami majoriti umat Islam dan undang-undang Islam dijalankan. Ianya termasuklah semua kewajipan yang dituntut oleh Islam seperti kewajipan solat, puasa, zakat dan seumpamanya.


Menurut al-Zuhaili, Negara Islam ialah semua negara yang berada di bawah pimpinan atau Sultan yang beragama Islam, manakala undang-undang Islam dijalankan dengan teratur. Menurut Sayyid Quttub, walaupun di dalam sesebuah negara itu terdapatnya golongan bukan Islam, namun sekiranya diketuai oleh pemimpin Islam, maka negara tersebut diklasifikasikan sebagai sebuah negara Islam.


Secara jelasnya, pendapat para ulama di atas membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang boleh diiktiraf sebagai sebuah negara Islam. Hal ini kerana Malaysia dipimpin oleh Ketua Negara yang beragama Islam. Ia juga dapat dibuktikan melalui fakta-fakta sejarah yang menunjukkan selepas kemerdekaan, Malaysia tidak pernah dipimpin oleh orang bukan Islam. 


Namun pada masa yang sama Ketua Negara wajib mencari jalan dan sentiasa berusaha untuk menjalankan undang-undang Islam secara total dan memberi kebenaran kepada masyarakat bukan Islam untuk mengamalkan ajarannya.


Perkara berkaitan Malaysia negara Islam atau tidak ini menjadi hangat apabila tular artikel yang ditulis oleh seorang pejuang Liberal dan yang menyokong dasar politik Liberal pembangkang (PH/DAP) iaitu Mariam Mokhtar yang bertajuk "Malaysia, do you want an Islamic State".


Artikel yang penuh dengan tuduhan dan hasutan tanpa fakta yang benar serta penuh dengan kebencian terhadap Islam adalah akibat dari implimentasi ideologi Liberal dari barat. Antara tuduhan yang dilemparkan sehingga mempamerkan niat untuk menghasut dan menakut-nakutkan rakyat adalah:


1. Jika UMNO berkuasa dan mendapat majoriti 2/3, Malaysia akan diisytiharkan sebagai negara Islam. Menurut Mariam, perkara ini sudah pastinya mendapat sokongan PAS dan akhirnya meminggirkan golongan bukan Islam;

2. Orang bukan Islam tidak bebas kecuali dalam lingkungan peraturan Islam yang telah ditetapkan;

3. Sekiranya pemimpin UMNO bertakhta, maka Negara Islam iaitu Malaysia akan dipimpin oleh perasuah sedangkan dalam Islam menjadi pemimpin perlulah adil. Pada masa yang sama JAKIM juga tidak berani untuk menegur pemimpin-pemimpin yang korup;

4. Negara Islam akan berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam. Sebelum ini pun telah berlakunya kezaliman seperti kes penculikan dan pembunuhan pastor, kes ketidakadilan terhadap Lina Joy yang murtad dan sebagainya. Jika negara Islam, kes-kes kezaliman ini akan berlaku dengan lebih teruk lagi kerana semua kuasa pemutus di tangan penguasa Islam.

5. Jika Malaysia menjadi negara Islam maka akan menjadi lebih teruk seperti mana negara Islam yang lain seperti Afghanistan, Mesir, Somalia, Sudan dan lain-lain. Malah Indonesia yang memiliki majoriti rakyat beragama Islam pun tidak mengisytiharkan negara mereka sebagai sebuah negara Islam;

6. Malaysia akan menjadi negara seperti Afghanistan, Somalia, kerajaan Taliban dan lain-lain yang akan melahirkan militan dan berkelakuan  ganas.


Kesemua tuduhan yang dilemparkan tersebut hanyalah andaian dan fakta-fakta yang diberikan adalah fitnah terhadap Islam. Secara jelasnya, ia adalah strategi untuk mempromosikan fahaman Liberal dengan menggunakan isu negara Islam bagi memperlihatkan Islam sebenar itu buruk dan sangat mengongkong. Sedangkan pada zaman moden ini menurut fahaman Liberal perlu diimprovasikan sesuai dengan zaman yang semakin maju sebagaimana yang diimplikasikan oleh negara-negara barat.


Penulisan artikel Mariam Mokhtar ini juga dilihat ingin menarik sokongan rakyat supaya menyokong pembangkang yang turut memperjuangkan fahaman Liberal yang kononnya akan membawa kemajuan pada Malaysia dan mengubahsuai hukum-hukum Islam sesuai dengan zaman.


Sedangkan Islam itu membawa rahmat kepada alam. Tidak ada bahayanya negara Islam sepertimana yang dihujahkan mereka yang berideologi Liberal. Sebagaimana negara Islam pada zaman Rasulullah SAW dahulu juga terdapat masyarakat yang majmuk iaitu Islam dan bukan Islam, namun mereka hidup dalam keadaan yang aman damai.


Memburukkan konsep negara Islam adalah strategi untuk menanamkan kebencian rakyat terhadap Islam. Para pemegang ideologi Liberal yang beragama Islam haruslah berhati-hati dalam berkata-kata, dalam mengeluarkan idea, dalam bertindak kerana setiap perkara yang melibatkan agama jika terpesong dari syariatnya, maka lebih mudah untuk terjerumus untuk murtad.


Sumber: Unit Penyelidikan al-Haqcentre Malaysia - FEB 2022

Comments