BAHAYA ATEIS - MEMPERSOALKAN PERISTIWA ISRA’ MIKRAJ MENGGUNAKAN LOGIK AKAL UNTUK MENIMBULKAN KERAGUAN KEPADA UMAT ISLAM - BERWASPADALAH!!!




 Baru-baru ini pada 27 Rejab 1443 hijrah umat Islam di seluruh dunia telah menyambut peristiwa Isra’ Mikraj sempena memperingati peristiwa perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang kemudiannya diangkat ke langit sehingga ke lapisan ketujuh dengan hanya satu malam dan menempuhi pelbagai peristiwa yang secara logiknya adalah mustahil bagi seorang manusia. 


Sebagai seorang yang beragama Islam sudah tentu kita mempercayai bahawa peristiwa tersebut sebagai tanda kebesaran Allah SWT. Namun, hal ini disangkal oleh golongan ateisme yang merujuk kepada satu fahaman golongan yang tidak tahu cara untuk mereka mempercayai Tuhan kerana pada pandangan mereka kewujudan Tuhan tidak dapat dibuktikan. Golongan ini seperti terperangkap dalam dunia skeptikal kerana pada hakikatnya pengetahuan agama adalah berbeza dengan pengetahuan yang bersifat akademik dan logik. 


Namun, apa yang lebih bahaya adalah mereka cuba menimbulkan keraguan kepada umat Islam di negara ini dengan mempersoalkan beberapa perkara yang berhubung dengan akidah Islam termasuklah mempersoalkan kebenaran peristiwa Isra' dan Mikraj yang dilalui oleh Rasulullah SAW. Mereka menggunakan logik akal untuk menolak peristiwa tersebut sedangkan akal yang diberikan oleh Allah tidak mungkin boleh mentafsirkan atau menjelaskan sesuatu perkara yang di luar kemampuan akal itu sendiri.


Contohnya dalam satu page facebook ‘Kiub itu Berhala’ telah memuat naik satu posting berkaitan dengan kisah perjalanan Nabi Muhammad SAW ke langit bertemu dengan Allah sempena sambutan Isra’ Mikraj. Posting tersebut menceritakan kisah pengurangan waktu solat dengan menuduh Allah SWT tidak berhati perut kerana menyeru umatnya menunaikan solat sebanyak 50 waktu. Penyataan tersebut memberi gambaran seolah-olah perkara tersebut adalah tidak logik dan golongan ini mempercayai bahawa agama Islam adalah agama yang membebankan umatnya kerana perlu melaksanakan perintahNya.  


Seorang ulama Islam, Sheikh Amin al-Syanqiti menyebut bahawa Allah menjadikan apa yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW daripada perkara dan peristiwa yang pelik dan ajaib pada malam Isra’ dan Mikraj adalah sebagai satu ujian kepada orang ramai. Ini kerana ada antara mereka yang tidak mempercayai perkhabaran Nabi Muhammad SAW, ianya tidak mungkin berlaku, bagaimana mungkin Baginda solat di Baitul Maqdis dan pergi ke tujuh tingkatan langit serta melihat keseluruhannya pada satu malam sahaja kemudian pada waktu pagi berada di Mekah. Inilah satu ujian kepada mereka yang ragu-ragu.


Umat Islam sewajarnya peka dan mengambil serius dengan perkembangan fahaman ini yang mula menular dalam kalangan umat Melayu Islam di negara ini. Kesedaran tentang wujudnya permasalahan dan ancaman terhadap akidah umat Islam menjadi asas pengemblengan peranan dan tindakan yang berterusan dalam usaha mencegah, mengekang dan membasmi elemen-elemen perosak akidah ini daripada terus membarah dalam kalangan umat Islam.


Sumber: Tashih al-Mafahim # 17 - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments