Sebagai umat Islam, agama telah menuntut kita untuk melakukan kebaikan kepada semua orang walaupun kadangkala kebaikan itu di balas sebaliknya. Berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan adalah satu perintah Allah dan galakan terhadap hambaNya yang beriman agar sentiasa melaksanakanya. Firman Allah SWT:
"....Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (QS Al-Baqarah: 148).
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:
"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa." (QS Ali-Imran: 133).
Allah SWT membawa satu pendekatan motivasi dan semangat kepada hambaNya iaitu pendekatan berlumba-lumba untuk mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapat keampunan dan balasan syurga. Keampunan Allah SWT adalah matlamat yang ingin dicapai setiap Mukmin dan ia hanya boleh dicapai dengan perlumbaan mencari kebaikan di samping usaha bersungguh-sungguh bagi mencapainya serta sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Ia tidak diperoleh jika sikap malas dan mengambil mudah menyelubungi diri. Perlumbaan di sini membawa maksud perlumbaan melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Bahkan, Rasulullah SAW juga ada menjelaskan kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Sabda Baginda SAW:
"Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta itu pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu itu serta diajarkannya kepada manusia lain." (HR Bukhari dan Muslim).
Dalam Islam sendiri, manusia digalakkan untuk berlumba ke arah kebaikan. Berlumba di sini bukanlah untuk riak atau membangga diri, namun untuk merebut ganjaran yang Allah SWT berikan. Perlumbaan ini adalah sebagai semangat untuk kita sentiasa istiqamah di jalan Allah SWT. Oleh itu, kita seharusnya berlumba-lumba untuk membuat kebaikan demi menggapai redha ilahi. Bukan hanya untuk diri kita sahaja, malah kita juga boleh mengajak orang lain turut sama berbuat kebaikan supaya ganjaran pahala itu sentiasa mengalir dan memberikan manfaat kepada diri kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.” (HR Muslim).
Justeru, marilah kita melakukan kebaikan tanpa henti bermula dari sekarang demi untuk mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT ke dalam hidup kita. Pujuklah diri untuk melakukan kebaikan kepada diri sendiri serta orang lain. Usah berfikir panjang untuk melakukan kebaikan. Peluang untuk melakukan kebaikan terbentang luas di depan mata kita.
Sumber: Berita Harian (24 Disember 2018)
Comments
Post a Comment