BERPEGANG KEPADA MIMPI MUHAMMAD QASSIM ADALAH AMALAN SYIRIK DAN KHURAFAT YANG BERCANGGAH DENGAN AJARAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH - KENAPA MASIH ADA YANG MEMPERCAYAI AJARAN SESAT INI?
Islam adalah sebuah cara hidup lengkap yang meliputi segala urusan kehidupan manusia. Islam adalah agama yang mudah dalam erti kata sesuai dilaksanakan di semua keadaan, masa dan tempat serta sesuai dengan fitrah manusia. Oleh sebab itu, penganut agama Islam disifatkan sebagai ummatan wasatan iaitu umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta seimbang dalam seluruh aspek kehidupannya.
Namun, perlu ingat bahawa walaupun mudah tetapi janganlah dipermudahkan dan boleh mengadaptasi amalan-amalan lain ke dalam ajaran Islam yang sudah lengkap. Adaptasi perkara-perkara lain selain daripada ajaran al-Quran , as-Sunnah, ijmak dan qias boleh menjerumuskan seseorang itu ke lembah kesesatan.
Sebagai contoh, seorang pemilik akaun Facebook ‘Seindah Pelangi Petang’ telah memuat naik status “..baca tasbih selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW seperti yang di ajar di dalam mimpi Muhammad Qassim,jadikanlah bacaan ini sebagai satu tabiat dan konsisten setiap hari, InsyaAllah , Aamin..”. Sedangkan dalam Islam telah ad a bacaan-bacaan khusus atau selawat-selawat tertentu yang diamalkan oleh para ulama berlandaskan hadis-hadis muktabar. Jadi, mengapa perlu mempercayai mimpi-mimpi seorang pemuda yang tiba-tiba muncul dengan mimpi peliknya?
Ada juga satu status lainnya menyebut “..Allahu Akbar!! Terbaik srikandi dan srikanda semua…Alhamdulillah..” dan disertakan dengan link Youtube yang bertajuk ‘ Suara Dukungan Rakyat Malaysia Terhadap Muhammad Qassim bin Abdul Karim’. Hal ini menunjukkan bahawa umat Islam di Malaysia semakin ramai telah terjebak dengan mimpi karut Muhammad Qassim ini kononnya mimpinya dapat membantu mereka mengetahui kejadian-kejadian yang akan datang kerana mendakwa didatangi Rasulullah SAW dalam mimpi tersebut.
Pada masa yang sama, tindakan pengikut Muhammad Qassim di Malaysia ini sehingga membentuk solidariti dikhuatiri mampu membina satu kekuatan yang menjurus ke arah tindakan keganasan bagi mempertahankan fahamannya. Bukannya tiada peristiwa yang telah berlaku sebelum ini dimana penganut Syiah juga pernah ‘bertempur’ dengan penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana berlainan fahaman dan mengatakan bahawa ajaran Syiah itu sesat biarpun sekali benar dakwaan tersebut.
Maka, apa yang perlu dibuat? Pihak penguasa beserta kementerian agama termasuklah JAKIM harus memantau perkara ini sebaiknya. Meman g ada kenyataan sebelum ini menyatakan disebabkan perkara ini berlaku di luar Malaysia, maka tidak perlu apa-apa tindakan yang perlu diambil. Namun, demi kemaslahatan rakyat Malaysia yang dilihat semakin ramai terpengaruh dengan mimpi Muhammad Qassim ini, suatu tindakan harus dijalankan, sekurang-kurangnya memfatwakan perkara itu sebagai ajaran sesat dan sesiapa yang mengikutinya boleh didakwa.
Sumber: Bahagian penyelidikan al-Haqcentre
Comments
Post a Comment