Sama ada kita sedar ataupun tidak, sebahagian besar daripada kita apabila ditimpa ujian sakit pasti akan mengeluh berat demi mengenangkan nasib. Ramai yang mengeluh dan dihimpit kesedihan saat diri diuji dengan kesakitan. Malah, ada juga sebilangan orang yang mempersoal kenapa dirinya ditakdirkan sakit dan seumpamanya.
Tahukah kita bahawa ujian sakit ini datangnya dari Allah SWT untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita? Daripada al-Harith bin Suiyed beliau berkata, telah berkata Abdullah bin Masud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya.” (HR Bukhari).
Bagi individu yang dikurniakan sifat sabar yang tinggi pula, mereka akan menganggap kesakitan itu sebagai ujian daripada Pencipta untuk menduga kesabaran seorang hamba. Malah, mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah SWT. Apa sahaja musibah, kesusahan atau sakit yang dihadapi dengan sabar, reda dan bertawakal, mempunyai ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah SWT.
Sesungguhnya Allah SWT ingin menguji setiap hambaNya dengan sedikit ujian sebagai peringatan untuk kita terus mengingatiNya dan taat kepadaNya. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami akan menguji kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, nyawa (penyakit) dan kekurangan hasil mahsul bumi. Beruntunglah bagi mereka yang sabar atas segala dugaan itu." (QS al - Baqarah: 155).
Justeru, jangan kita sesekali mengeluh dengan ujian Allah SWT ini sebaliknya bersabar. Ketahuilah, terselit hikmah di sebalik ujian sakit yang ditimpakan ke atas seorang hamba waima hanya kesakitan kecil. Namun, mereka yang benar-benar bersabar sahaja yang dapat meraih imbalan berkenaan.
Rasa sakit adalah suatu anugerah yang harus disyukuri kerana Allah SWT memberikan rasa sakit sebagai tanda kasih sayang Allah SWT terhadap mahluknya. Apabila sakit, kita akan segera menyedari kelemahan kita sebagai hamba. Kita akan segera mengingati Allah SWT dan berdoa agar diberi kesembuhan.
Sumber: Sinar Harian (1 Januari 2021)
Comments
Post a Comment