BERSEDEKAHLAH KERANA IA ADALAH KUNCI KEPADA KEBAIKAN DAN MEMBAWA KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN




 Ramai di kalangan kita pada hari ini sudah mula menyedari tentang kelebihan bersedekah dan segera melakukan amalan tersebut tanpa berlengah. Alhamdulillah, satu perkembangan yang amat positif. Bersedekah ini bukan hanya semata-mata mahu memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan, tetapi sedekah yang dilakukan ini juga merupakan salah satu pertolongan buat diri kita sendiri. Bagaimana? Dengan kita bersedekah, ia akan lebih membawa keberkatan di dalam hidup. Pernahkah kita mengalami satu situasi dan perasaan yang tenang selepas kita bersedekah? Atau selepas kita bersedekah, hadir rezeki lain di dalam hidup kita? Itu tanda adanya keberkatan dalam sedekah kita.  Allah SWT berfirman:


“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (QS Al-Baqarah: 261).


Setiap manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah SWT. Janganlah sesekali kita takut untuk bersedekah kerana sedekah itu kunci kepada segala kebaikan di dalam diri. Bersedekah dan berinfak tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:


“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (HR Muslim).


Ingatlah, segala harta dunia yang kita pakai atau pegang ketika ini belum tentu menjadi milik kita. Yang pasti, setiap sen atau harta diinfakkan di jalan Allah itu akan menjadi pelaburan di akhirat kelak di mana kebaikannya berkekalan.


Ajaran Islam menuntut umatnya agar mengambil peduli terhadap kebajikan orang lain tanpa mengira sama ada mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita ataupun tidak. Namun, dalam banyak-banyak amalan kebaikan, akan ada manusia ketika di dunia dulu sangat berat untuk bersedekah. Akan tetapi selepas meninggal dunia mereka sangat menyesal dan merayu kepada Allah SWT supaya kalau boleh dibangkitkan semula ke dunia meskipun sekejap semata-mata untuk bersedekah seperti firman Allah SWT:


“… Wahai Tuhanku, alangkah baiknya Engkau lambatkan kedatangan ajalku sedikit waktu lagi, supaya aku dapat bersedekah, dan aku termasuk orang-orang yang soleh.” (QS al Munafiqun:10).


Oleh itu, jangan sampai kita tergolong dalam golongan sebegitu, yang amat-amat menyesali ketika sudah meninggal dunia kerana tidak bersedekah semasa hidup di dunia dulu. Nauzubillahiminzalik. 


Sumber: Portal Islam itu Indah (https://www.islamituindah.my/amalan-sedekah-bawa-keberkatan/)

Comments