CEGAHLAH KEMUNGKARAN SEBELUM ALLAH MENGIRIMKAN AZAB YANG LEBIH BESAR AKIBAT KEMAKSIATAN YANG SEMAKIN BERMAHARAJALELA - CEGAH KEMUNGKARAN KEWAJIPAN BERSAMA!!!

 

Sejak kebelakangan ini, begitu banyak terjadinya kemungkaran yang berlaku di negara ini. Buli membuli hingga membawa kepada kematian, beredarnya video-video yang kurang sopan di media sosial hingga mencetuskan kontroversi, jenayah berat, maksiat berleluasa dan sebagainya. 

Itu belum termasuk lagi perkara-perkara yang mensyirikkan Allah SWT. Allah SWT memberi peringatan serta menjanjikan azab yang pedih kepada manusia bukan hanya kepada mereka yang melakukan kezaliman, malah orang beriman juga tidak terlepas daripadanya. Jenayah dan maksiat menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Jadi, sebagai seorang umat Islam kita dituntut untuk menjauhinya. 

Rasulullah SAW bersabda: 

"Apabila kemaksiatan telah bermaharajalela pada umatku, maka Allah akan mengirim azab dari sisi-Nya secara umum." (HR Ahmad). 

Pada hari ini, tidak dinafikan kemaksiatan dan kemungkaran semakin bermaharajalela. Maka, tidak hairanlah kenapa Allah SWT menimpakan kepada penduduk negeri berkenaan bencana, malapetaka dan wabak. Semua umat manusia akan ditimpa bencana termasuk orang-orang yang soleh dan beriman. Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini terjadi lagi bukan? Oleh itu, apa yang harus kita lakukan adalah mencegah ia daripada berulang. 

Setiap Muslim perlu berperanan untuk mengajak anggota masyarakat yang lain melakukan amal soleh dan mencegah mereka daripada melakukan maksiat dan kejahatan. Ini kerana kesolehan individu sahaja tidak mencukupi untuk kita semua selamat daripada azab Allah SWT di dunia melainkan ada yang berperanan sebagai musleh (agen merubah masyarakat melalui peranan amar makruf nahi mungkar). Firman Allah SWT: 

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (QS Ali 'Imran: 104). 

Justeru, kita dituntut untuk tidak berdiam diri dalam perkara maksiat atau kemungkaran. Ini kerana, tugas amar makruf nahi mungkar adalah kewajipan setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya SAW. Dengan sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah SWT. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam menyeru manusia kepada kebaikan serta mencegah mereka daripada kemungkaran serta menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang terbaik.  

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 


Comments