ISLAM ADALAH AGAMA YANG LENGKAP (SYUMUL) WAJIB BAGI SETIAP MUSLIM UNTUK MEMELIHARA MARTABAT DAN KESUCIANNYA DARIPADA DIPERSENDAKAN ATAU DIHINAKAN
Islam merupakan agama atau sistem hidup yang menyeluruh atau disebut juga dengan istilahnya syumul. Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap iaitu setiap aturan berkaitan dengan semua aspek dan bidang kehidupan umat manusia, daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Bagi seorang Muslim, bimbingan Islam ini mencukupi semua keperluannya kerana Islam sudah mengatur kehidupan manusia dengan lengkap yang meliputi aspek akidah, ibadat, akhlak, ekonomi, politik, kemasyarakatan, kesihatan, kebudayaan, bahasa, seni, pengetahuan, hubungan antarabangsa, alam sekitar, falsafah, sains, undang-undang dan sebagainya. Allah SWT telah menyempurnakan agama ini bagi hamba-hambaNya. Dengan agama Islam ini pula Allah SWT menyempurnakan nikmat atas mereka dan meredhai Islam sebagai agama yang mesti mereka peluk. Firman Allah SWT:
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kalian, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku atas kalian dan Aku pun telah redha Islam menjadi agama bagi kalian." (QS Al-Ma'idah: 3).
Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk menjaga dan memelihara martabat dan keagungan agama Islam yang juga agama Allah SWT. Hari ini dapat kita saksikan berulang kali agama Islam ini diinjak-injak dan dipersendakan oleh sesetengah pihak hingga ada sebahagiannya yang menjadi Islamophobia dan menggelarkan agama ini sebagai agama pengganas. Walhal itu tidak tepat sama sekali kerana agama Islam merupakan agama kedamaian dan sunnah Rasulullah SAW itu banyak diikuti oleh sebilangan besar umat manusia termasuklah yang bukan beragama Islam. Jadi, di mana letaknya agama Islam sebagai sebuah agama yang ganas?
Islam sama sekali tidak meletakkan syarat bahawa perkara berkaitan syiarnya haruslah rigid. Syiar Islam boleh diubah dan pasti boleh disesuaikan dengan keadaan, masa serta tempat. Syiar Islam tetap tertegak malah dikagumi penganut sendiri mahupun musuh Islam. Walaupun terdapat segelintir umat Islam yang keliru dan secara tidak langsung menjadi ekstrem dalam beribadat dan mengangkat syiar Islam, akan tetapi akhirnya ego kelompok ini mampu ditundukkan dengan undang-undang dan fatwa kontemporari. Di sinilah letaknya keindahan dan kesyumulan Islam. Boleh berubah dan diubah mulai dari turunnya Nabi Adam AS hinggalah hari kiamat nanti.
Islam adalah sistem yang komprehensif yang menyentuh seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air atau pemerintahan dan umat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah peradaban dan undang-undang atau ilmu pengetahuan dan keadilaan. Islam adalah kebendaan dan kekayaan atau usaha dan kecukupan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih tidak kurang tidak lebih.
Sumber: Portal Berita PAS (3 September 2019)
Comments
Post a Comment