KENAPA ISLAM LIBERAL PERLU DITOLAK? MEMAHAMI AGAMA BERDASARKAN LOGIK AKAL DAN FAHAMAN LIBERAL BARAT YANG BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM
Golongan Islam liberal terdiri daripada pelbagai kumpulan dan individu yang mengaku diri mereka membawa misi Islam. Antara individu yang terlibat membawa pemikiran Islam liberal adalah seperti Nasr Abu Zaid (Mesir), Asghar Ali Engineer (India), Aminan Wadud (Amerika Syarikat), Irshad Manji (Kanada), Ulil Absar Abdallah (Indonesia), Kassim Ahmad (Malaysia) dan sebagainya.
Kassim Ahmad dalam bukunya yang bertajuk ‘Salam Faham Terhadap Sunnah: Isu dan Penyelesaian’ telah menggariskan enam persamaan pola pemikiran yang membentuk ideologi liberalisme dalam agama. Enam perkara tersebut adalah seperti berikut:
1. Berpegang kepada konsep pluralisme (semua agama adalah benar), sekularimse, liberalisme dan kebebasan beragama;
2. Menolak autoriti agama termasuk hadis, ijmak ulama dan sebagainya;
3. Mengagungkan akal manusia sebagai sumber dan autoriti utama penafsiran terhadap agama;
4. Mempercayai bahawa kebenaran hanyalah relatif, bukannya mutlak bergantung pada individu, masa dan tempat;
5. Memerangi beberapa konsep agama berkaitan wanita, harta pusaka, amalan seks dan sebagainya atas dasar kesamarataan dan hak asasi manusia;
6. Berusaha mentafsirkan semula agama dan menyesuaikannya mengikut ideologi dan gaya hidup masyarakat Barat.
Enam perkara tersebut secara jelasnya telah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan ianya dibuat hanya bersandarkan kepada nafsu akal semata-mata. Terdapat satu kaedah fiqh mahsyur menyebut ‘Hukum ke atas sesuatu perkara memerlukan gambaran yang jelas berkenaannya’. Imam Ghazali menekankan betapa pentingnya bagi seorang ilmuwan itu untuk memahami hakikat sebenar perkara yang dibahaskan sebelum ianya layak untuk mengkritik atau menerimanya. Jika tidak ianya ibarat orang yang memanah dengan mata yang tertutup.
Justeru itu, boleh disimpulkan bahawa mereka yang berpegang kepada ajaran Islam liberal ini adalah tidak layak untuk mengubah mahupun mengkiritik sesuatu ajaran atau hukum-hakam dalam Islam sehingga ingin mewacanakan dengan masyarakat awam sedangkan teryata mereka sebenarnya telah sesat dan melampaui batas.
Sumber: Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam, 2016
Comments
Post a Comment