PENYELEWENGAN AKIDAH ADALAH KEMUNGKARAN TERBESAR YANG MENGUNDANG KEMURKAAN ALLAH SWT - BERHATI-HATILAH, JANGAN SESEKALI TERJEBAK DENGANNYA!
Islam adalah agama yang sangat mulia, lengkap dan sempurna. Agama Islam menyelamatkan kita daripada kegelapan kepada cahaya yang terang benderang, daripada kebatilan kepada kebenaran dan memimpin kepada ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya agama yang benar disisi Allah ialah agama Islam.” (QS Ali 'Imran: 9).
Namun amat menyedihkan di mana sebahagian umat manusia pada hari ini sudah berpaling atau menyeleweng akidah mereka demi tuntutan kepuasan nafsu mereka sendiri. Tahukah kita penyelewengan akidah adalah salah satu kemungkaran terbesar dalam Islam. Kesesatan sesuatu golongan perlu diperjelaskan oleh mereka yang mempunyai ilmu mengenainya. Jika fahaman sesat itu tidak dibendung ia pasti mengundang fitnah yang lebih besar terhadap Islam dan umatnya.
Antara kesesatan dalam akidah adalah nenetapkan kejisiman atau kelaziman jisim zat terhadap zat Allah SWT. Ulama Salaf (ulama terdahulu) sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. Antara ulama salaf agung menolak doktrin Tajsim melalui karya mereka adalah Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-Fiqh al-Akbar, Imam at-Thahawi dalam Akidah Tohawiyyah, Imam Malik dalam al-Muwattha', Imam al-Syafii dalam al-Wasiyyah dan ramai lagi tokoh seangkatan dengan mereka.
Semenjak dahulu hinggalah sekarang fahaman atau ajaran yang mengelirukan sering timbul untuk menjerat dan memerangkap orang-orang Islam khususnya kepada orang-orang yang kurang memahami tentang ajaran agama Islam. Malah lebih membimbangkan lagi bila mana wujudnya penyelewengan akidah yang amat berbahaya dan meragui kebenarannya yang boleh merosakkan iman dan akidah Islam yang sebenar.
Justeru sebagai umat Islam, kita harus pihak-pihak berkuasa mencegah perbuatan ini daripada terus berleluasa. Sikap menyembunyikan ilmu dan mendiamkan diri daripada membanteras golongan sesat yang semakin berleluasa adalah sikap tercela. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangannya (kekuasaan). Jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan lisannya. Jika tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya. Itu selemah-lemah iman." (HR Muslim).
Golongan yang tidak menegakkan kebenaran dan mendiamkan diri daripada membanteras suatu kesesatan dikira tidak menegakkan yang makruf serta tidak juga mencegah kemungkaran. Golongan ini dicela oleh syarak. Ini kerana penyelewengan dalam masalah akidah adalah sebesar-besar kemungkaran yang ada.
Ketahuilah bahawa ajaran dan aliran seperti ini boleh mengelirukan kehidupan beragama dan mengugat keselamatan, kestabilan, keharmonian, dan kesejahteraan negara serta perpaduan umat Islam di negara ini. Kerana sebahagian daripada ajaran tersebut boleh menimbulkan kekacauan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Selaku rakyat dan ajaran yang boleh menyelewengkan dan memesongkan akidah kita.
Pokoknya, al-Quran dan al-Sunnah adalah neraca kebenaran tertinggi terutama dalam masalah yang melibatkan akidah. Kita perlu menjelaskan setiap inci penyelewengan fahaman Tajsim dan aliran pemikiran yang berasaskan kepada doktrin itu secara terbuka. Usaha ini perlu dilakukan bagi mempertahankan kemurniaan akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ). Semoga Allah SWT membantu kita membanteras penyelewengan fahaman Tajsim daripada persada pemikiran Islam kontemporari.
Sumber: Harian Metro (24 Mac 2022).
Comments
Post a Comment