SETIAP AMAL KEBAIKAN YANG DILAKUKAN ADALAH SEDEKAH, MAKA LAKUKANLAH DENGAN SEBAIK-BAIKNYA AGAR DITERIMA OLEH ALLAH SWT

 

Setiap daripada kita di bumi ini sudah pasti mahukan pengakhiran yang baik di dalam hidup untuk kita mencapai tujuan sebenar di akhirat iaitu memperolehi nikmat syurga. Oleh itu, beberapa perkara harus dilakukan bagi mendapatkan pahala sebelum memperoleh nikmat tersebut. 

Ada yang beranggapan bahawa dengan beribadah sahaja sudah mencukupi. Tidak tepat sebenarnya. Selain menjaga hubungan dengan Allah SWT, kita juga wajib menjaga hubungan dengan manusia. Bagaimana? Dengan melakukan amal jariah dan sedekah. Sabda Rasulullah SAW: 

"Setiap kebaikan adalah sedekah.” (HR Bukhari). 

Ruang dan penjuru untuk kita beramal soleh sentiasa terbuka luas kepada kita pada setiap masa dan tempat. Amal kebaikan itu boleh sahaja dilakukan kepada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan dan taulan malah juga kepada haiwan dan tumbuhan. 

Allah SWT menjelaskan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh manusia akan dinilai di sisi-Nya. Sama ada ia kecil mahupun besar, penilaian daripada Allah SWT adalah yang paling adil untuk manusia. Firman Allah SWT: 

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (QS Az-Zalzalah: 7-8). 

Setiap kebaikan yang dilakukan walau sekecil mana pun, ia adalah sedekah dan mendatangkan pahala. Sedekah kebaikan ini mencakupi aspek harta, tenaga, usaha, idea, pemikiran dan, tindakan yang tulus dan ikhlas dalam usaha melebarkan manfaat buat diri, masyarakat dan makhluk alam yang lain.

Justeru, jangan sesekali kita merasa malu untuk melakukan kebaikan walau sekecil zarah sekalipun. Ini kerana jika amal yang sekecil dan semudah itu dikira sedekah, apatah lagi kalau amal yang memberi impak yang besar kepada diri, masyarakat dan negara. 

Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar, people@utm (https://people.utm.my/ajmain/2017/12/06/setiap-perbuatan-baik-itu-sedekah/)


Comments