USAH BERKIRA UNTUK MEMBANTU ORANG YANG DALAM KESUSAHAN KERANA ALLAH AKAN MENDATANGKAN ORANG LAIN PULA UNTUK MEMBANTU DI SAAT KITA SUSAH


Hidup ini umpama roda. Kadang kala di atas, kadang kala di bawah. Mungkin hari ini bukanlah hari kita untuk berhadapan dengan kesusahan dan cabaran, namun diingatkan bahawa Allah SWT sedang menguji kita untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan. Setiap orang pasti akan berdepan dengan kesusahan. Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah menjadi orang baik maka ditimpakan musibah (ujian) kepadanya.” (HR Bukhari).

Lihatlah seperti keadaan sekarang, banyak kesusahan yang menimpa rakyat Malaysia. Manakan menghadapi musibah Covid-19, banjir pula berlaku di beberapa buah negeri. Habis segala harta benda musnah malahan ada juga nyawa yang terkorban. Jadi, kita sebagai umat Islam haruslah menolong mereka tidak kira apa jua keadaannya. Janganlah sesekali kita berkira dalam menghulurkan bantuan, mungkin hari ini hari mereka tetapi hari kita belum tahu lagi bukan? Kita juga perlu yakin bahawa jika hari ini kita membantu dan memudahkan urusan orang lain yang memerlukan, di saat kita pula susah atau memerlukan pertolongan, Allah SWT pasti mendatangkan orang lain untuk membantu kita. Itu janji Allah seperti sabda Rasulullah SAW:

"Allah sentiasa menolong hambaNya selama ia menolong saudaranya." (HR Muslim).

 Sesungguhnya ruang untuk melakukan kebaikan tidak terbatas kepada sesetengah pihak sahaja. Kita boleh membantu golongan yang berkemampuan selain daripada golongan fakir miskin. Ini kerana walaupun golongan berkemampuan itu mempunyai wang ringgit, namun nyawa dan kesihatan tidak mampu dibayar. Jadi, wajiblah kita untuk menolong semua pihak tanpa memikirkan darjat mereka.

Usah membeza-bezakan orang yang ingin dibantu hanya kerana ukuran wang yang dimilikinya. Islam membuka peluang yang luas untuk umatnya menghulurkan bantuan. Dari sudut lain pula turut membuka ruang untuk sesiapa sahaja menerima bantuan ketika berada dalam kesusahan. Allah SWT berfirman:

"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, uptetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan Hari Akhirat, dan segala malaikat dan segala kitab, dan sekalian nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, (lakukan kebajikan) kepada kaum kerabat, dan anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba abdi..” (QS Al – Baqarah: 177).

Justeru, marilah sama-sama kita menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan. Pada masa sama, usah lupa untuk mendoakan agar urusan setiap saudara seagama kita sentiasa berjalan dengan lancar dan diberkati oleh-Nya. Doa yang akan dimustajabkan oleh Allah SWT antaranya apabila seorang hamba mendoakan saudaranya dalam keadaan saudaranya itu tidak mengetahuinya. 

Sumber: Harian Metro (2 Mac 2022)


 

Comments