AJARAN 'RASUL MELAYU' KEMBALI AKTIF? VIRAL AJARAN ‘RASUL MELAYU’ DI MEDIA SOSIAL MENGGAMBARKAN AJARAN SESAT INI SUKAR DIPULIHKAN DAN CUBA DIHIDUPKAN SEMULA

 

Baru-baru ini didapati viral di sosial media berkenaan ‘Rasul Melayu’ yang kembali aktif menyebarkan ideologi ajarannya bagi merekrut anggota dalam kalangan orang Melayu. Jika dahulu ‘Rasul Melayu’ atau juga dikenali sebagai Haji Kahar itu pernah dipenjarakan selama 10 tahun dan dipulihkan akidahnya serta membuat pengakuan taubat di atas kesalahan yang sama. 

Keaktifan semula ajaran ‘Rasul Melayu’ yang didapati telah merekrut seramai 19 anggota buat masa ini menunjukkan bahawa betapa sukarnya untuk memulihkan akidah seseorang yang sesat supaya kembali ke pangkal jalan yang benar. Hukuman penjara 10 tahun dan pemulihan akidah yang dijalani nampaknya tidak berjaya. Bukankah ini menggambarkan bahawa ancaman ajaran sesat ini adalah bahaya dan jika dibiarkan turut memberi implikasi kepada keharmonian negara.

Artikel ini ditulis bukanlah untuk mencari salah siapa atas ketidakberkesanan hukuman (pemulihan akidah) terhadap akidah dan tingkahlaku Haji Kahar tersebut, namun ia menimbulkan persoalan mengapa ajaran ini masih aktif dan masih diterima oleh masyarakat? Hakikatnya kita perlu sedar bahawa terdapat banyaknya ruang-ruang jiwa yang kosong yang memerlukan pengisian. Ketidakstabilan menguruskan jiwa membolehkan kata-kata dan dakyah bisikan keraguan syaitan mudah diserap meskipun ajaran tersebut secara jelasnya telah sesat.

Oleh sebab itu, menjadi satu kewajipan kepada kita sebagai umat Islam untuk terus menerus menyampaikan dakwah-dakwah Islam di pelbagai medium sama ada menggunakan pelbagai sistem dan aplikasi teknologi  maklumat yang ada sekarang ini mahupun secara konvensional agar dapat memandu jiwa-jiwa yang kosong itu ke arah ilmu dan ajaran Islam yang benar.

Sumber: Viral Tiktok Rasul Melayu!!! ‘tak payah solat confirm masuk syurga’ dan Harian Metro – 21 September 2020


Comments