APA KHABAR RAMADAN KITA? REBUTLAH PELUANG KEEMASAN UNTUK MERAIH GANJARAN PAHALA BERGANDA DAN KEAMPUNAN ALLAH SWT DALAM RAMADAN YANG MASIH BERBAKI
Hari ini sudah memasuki hari ke 27 dalam bulan Ramadan, apa khabar Ramadan kita pada kali ini? Apakah masih baik atau sebaliknya? Di penghujung bulan yang mulia ini seharusnya umat Islam mengambil peluang yang ada untuk memperbanyakkan ibadah demi untuk meraih ganjaran pahala berganda dan keampunan daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa mendirikan Ramadan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain) kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari).
Justeru, wajib ke atas kita sebagai umat Islam dan hamba kepada-Nya beriman dan melaksanakan perintah Allah dengan baik bagi mendapatkan keredaan Allah dalam hidup kita. Terdapat beberapa cara untuk kita 'booster' pahala kita dengan melakukan amalan yang baik lebih-lebih lagi kita sedang berada di penghujung bulan Ramadan. Apa amalan tersebut? Antara amalan yang sangat digalakkan adalah dengan menyempurnakan solat berjemaah, memperbanyakkan lagi bacaan al – Quran dan zikir. Selain itu, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan solat-solat sunat. Jika sebelum ini kita jarang atau tidak pernah melakukan solat sunat, inilah masanya untuk tingkatkan solat sunat supaya bertambah pahala.
Tidak hanya itu, memperbanyakkan amalan sedekah juga dituntut di dalam agama Islam pada malam-malam terakhir bulan Ramadan. Islam sangat menuntut umatnya untuk prihatin terhadap kebajikan orang lain tanpa mengira bahawa mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita ataupun tidak kerana balasan orang yang suka bersedekah ini amat besar pahalanya di sisi Allah. Allah SWT berfirman:
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yag tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki.” (QS al – Baqarah: 274).
Maka dari itu, janganlah kita lepaskan peluang keemasan ini dengan melakukan banyak amal ibadah di malam-malam terakhir Ramadan. Marilah sama-sama kita meningkatkan pahala kita dengan melakukan amalan-amalan yang dianjurkan serta beribadah dengan seikhlas hati agar ibadah yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT. Gerunlah kepada peringatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW ini:
“Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT” (HR Ibn Hibban).
Sumber: Portal Berita Mstar (8 April 2022)
Comments
Post a Comment