BERHATI-HATILAH DENGAN KUMPULAN TAREKAT!!! BANYAK AJARAN TAREKAT YANG MEMBAWA AJARAN BERKONSEPKAN 'WEHDATUL WUJUD' (DIRI MENYATU DENGAN ALLAH) SEHINGGA BOLEH MENJERUMUSKAN DIRI KE LEMBAH KESESATAN

 



Baru-baru ini isu tarekat dan pelbagai hal berkaitannya menjadi perbincangan hangat di pelbagai medium komunikasi. Perkara utama yang menjadi persoalan adalah sama ada amalan-amalan ibadah yang diamalkan oleh sesebuah kumpulan tarekat itu adakah selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ataupun boleh dikategorikan sebagai ajaran sesat? 


Secara umumnya, amalan tarekat itu tidak salah kerana makna tarekat itu sendiri adalah jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah. Tarekat ini merangkumi soal akidah, ibadah dan akhlak dan hendaklah diamalkan sebagaimana tarekat yang diikuti oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diajarkan kepada Baginda oleh Allah SWT melalui Malaikat Jibril. 


Namun kini terdapat terlalu banyak ajaran tarekat yang mempunyai amalan –amalan tertentu dan tersendiri atas tujuan untuk mendekatkan diri dengan Allah. Jika tersalah caranya maka ia boleh dikategorikan sebagai sesat. Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kebanyakan ajaran sesat berlaku dalam empat bentuk utama iaitu: (1) ajaran kesufian dan kerohanian, (2) perbomohan dan persilatan, (3) khurafat dan tahyul dan (4) penyelewengan pemikiran.


Daripada empat perkara tersebut, ajaran kesufian dan kerohanian adalah bentuk yang paling banyak disalahgunakan. Secara khususnya ia banyak berlaku menerusi amalan tarekat tasawuf yang mengamalkan amalan-amalan yang boleh membawa kepada  kesyirikan dan amalan yang bertentangan dengan syariat. Namun, pengikut ajaran tarekat tersebut tetap mendakwa bahawa ia adalah jalan yang benar meskipun pada hakikatnya ajaran tersebut adalah menyeleweng dan sesat. Cuma bagaimana kita boleh mengkategorikan sesuatu tarekat itu adalah ajaran yang benar atau tarekat yang sesat? Terdapat beberapa ciri yang boleh dikenalpasti bahawa ajaran sesuatu tarekat itu dikategorikan sebagai ajaran sesat iaitu seperti berikut:


i. Soal kenabian dan kewalian.

Berdasarkan kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir, mereka beriktikad kewalian lebih baik daripada kenabian. Oleh itu, guru mereka yang dianggap wali akan lebih ditaati berbanding ajaran Nabi Muhammad SAW. Mereka menganggap guru mereka adalah maksum (tiada dosa), boleh memberi syafaat di akhirat nanti, malah guru mereka dikatakan mempunyai keramat (kelebihan tertentu), malah lebih ekstrim lagi sehingga mendakwa guru mereka adalah wakil Tuhan yang tingkat kesempurnaannya sudah berada di peringkat hakikat yang tidak perlu lagi mengikuti syariat. Lalu timbul ketaksuban melampau terhadap guru yang diikuti walaupun amalannya menyalahi akidah, syariat dan akhlak Islam;


ii. Meyakini tentang kewujudan wali tersembunyi dan kekuatan wali tersembunyi itu yang akan membantu sesiapa yang mengikut ajaran tarekat tersebut.

Mereka mempercayai terdapat 40 wali-wali Allah yang tersembunyi di antara Muzdalifah dan Mina yang ditugaskan untuk membantu sesiapa yang dalam kesusahan. 313 wali yang lain pula berada di Madinah dan di Mekah terdapat sebuah kerusi kerohanian Yang di Pertuanya (gabenor) disebelah Hajarul Aswad untuk menyaksikan siapa yang mencium batu tersebut;


iii. Soal hulul atau mengamalkan konsep 'wehdatul wujud' yang memang bercanggah dengan akidah Islam.

Mempercayai bahawa Allah telah mengambil tempat dalam tubuh manusia tertentu (wali) lalu melenyapkan sifat-sifat kemanusian. Dengan itu unsur kemanusiaan pada jasad akan lebur (fana’) dan digantikan dengan ketuhanan. Konsep inilah suatu konsep yang telah disalahertikan sebagai ‘kembali menjadi Tuhan’ dan membawa kepada fahaman ‘wehdatul wujud’ (Allah menyatu dengan makhluk) yang merosakkan akidah;


iv. Mengagungkan kubur.

Berdoa di kubur-kubur guru tarekat pegangannya, berdoa (tawasul dan rabitah dengan guru tarekat yang telah mati) dan memuja kubur gurunya yang telah mati, mencium dan menghiasi kubur tersebut; 


v. Khutbah sesat (khutbah yang memberi amanat untuk diamalkan). Guru-guru tarekat menggunakan hadis yang direka mengenai seorang ‘wali’ Allah yang melakukan suluk hanya di bulan Rejab dan bermaksiat di bulan-bulan lain. Melalui hadis palsu tersebut mereka mempercayai bahawa pada bulan Rejab yang juga dikenali sebagai bulan Allah adalah satu-satunya bulan yang perlu memfokuskan diri untuk beramalah dan beribadah kepada Allah. Manakala pada bulan-bulan lain adalah bebas untuk melakukan maksiat kerana mereka percaya pada bulan rejab telah diampunkan dosa secara total.


vi. Mengamalkan konsep 'yaqazah' iaitu gurunya dapat berkomunikasi dengan Allah SWT dengan mimpi.


vii. Meyakini bahawa Allah menurunkan Nur (cahaya iman) ke dalam badan baginda Nabi dan diturunkan pula kepada salasilah guru-guru tarekat mereka hinggalah kepada guru tarekat mereka sekarang. Dengan cahaya iman ini, guru-guru mereka adalah maksum (bebas dosa) dan mempunyai kelebihan untuk meramal sesuatu yang terjadi di masa depan (contohnya terjadi kiamat, turun Imam Mahdi dan lain-lain), mempuyai kelebihan tertentu untuk mentafsir ayat-ayat quran dan sesuatu hukum agama. Padahal mereka mentafsir sesuatu ayat quran bukan berdasarkan kaedah tafsir ulama muktabar tetapi hanya berdasarkan akal dan hawa nafsu semata-mata sehingga tafsir mereka menyimpang dari makna yang sebenar.


viii. Dalam majlis zikir atau majlis perjumpaan mereka, pengikut-pengikut dikehendaki membayangkan wajah furu mereka semasa beribadah/berzikir supaya doa-doa dikabulkan. Malah mereka percaya bahawa roh-roh guru tarekat mereka yang telah mati pun akan hadir dalam majlis zikir-zikir yang diadakan itu. Malah lebih ekstrim lagi sehingga ada yang meyakini bahawa Nabi dan Sheikh Abdul Qadir Jalani (yang dikatakan ketua kepada semua guru tarekat yang telah meninggal dunia sejak 1166M lagi) akan hadir sama dalam majlis-majlis zikir mereka.


Berdasarkan perkara-perkara tersebut, dapatlah difahami bahawa tarekat yang diamalkan seperti di atas adalah bersumberkan daripada ajaran Syiah dan amalan-amalan yang direka sendiri, bukannya dari sumber yang boleh dipercayai seperti al-Quran dan as-Sunnah.


Justeru itu, berhati-hatilah dalam menerima sebarang ajaran tanpa menyelidik terlebih dahulu latar belakang seseorang ‘tok guru’ itu. Berpegang teguhlah pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana sudah pasti pegangan ini adalah benar kerana bersumberkan dua perkara utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Janganlah ambil jalan pintas dalam beribadah untuk mendapat jaminan syurga Allah sedangkan jalan tersebut penuh dengan kesyirikan, khurafat dan melanggar syariat Allah. Jika ajaran yang dibawa oleh seseorang 'tok guru' maka berkemungkinan ajaran tersebut adalah ajaran yang menyesatkan. Rujuklah terlebih dahulu kepada alim ulama, ustaz-ustaz atau ahli-ahli agama yang boleh dipercayai sama ada dari Majlis Agama, JAKIM, dan lain-lain.  Jika bertindak sendiri tanpa mempunyai ilmu agama mencukupi atau tanpa merujuk kepada pihak yang mempunyai pengetahuan agama yang diiktiraf tentang ilmunya, maka ajaran-ajaran tarekat tersebut akan mampu mencederungkan seseorang itu disesatkan.


Sumber: Irsyad al-Fatwa ke-28 - Mufti Wilayah Persekutuan, addeen.my, abuanasmadani.com

Comments