BERUSAHALAH MENGAWAL AMARAH DI SEPANJANG RAMADAN KERANA IA AKAN MENJEJASKAN FADILAT PUASA

 

Kita adalah manusia dan hamba Allah SWT yang tidak pernah lari dalam melakukan kesilapan termasuklah dalam melempiaskan amarah kepada persekitarannya. Bohonglah jika dikatakan pada bulan Ramadan juga kita tidak terkecuali untuk merasa marah terhadap sesuatu perkara. Sabda Rasulullah SAW: 

"Puasa adalah benteng kepada diri, maka bila salah seorang kamu di hari ia berpuasa janganlah berkata kotor dan jangan teriak-teriak, dan jika seseorang memakinya atau mengajaknya bertengkar hendaklah ia mengatakan “Sesungguhnya aku sedang berpuasa," (HR Bukhari dan Muslim). 

Seharusnya di bulan yang mulia ini, adalah masa yang terbaik kepada kita sebagai umat Islam untuk bermuhasabah diri dan mendidik diri kita untuk menahan amarah dan lebih memilih untuk memaafkan dan melupakan perkara tersebut. Tidak ada makna sesuatu isu itu diperbesar-besarkan kerana ia akan membawa kerugian kepada diri kita sendiri. 

Marah perlu dikawal secara holistik yang boleh dilakukan dengan doa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tanamkan dalam diri nilai kasih sayang dan menghargai hak orang lain. Sedarlah kalau kita suka marah dan tidak hiraukan perasaan itu, bermakna kita suka berkawan dengan syaitan. Apakah kita suka digelar "sahabat" kepada syaitan? Firman Allah SWT: 

"Dan jika engkau dihasut sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS Al-A’raf: 200). 

Oleh itu, di bulan Ramadan ini kita seharusnya mendidik diri kita untuk mengawal segala bentuk emosi yang buruk dan jangan biarkan amarah menguasai kita, tetapi kita yang harus menguasai (mengendalikan) amarah tersebut. Ini kerana marah yang berlebihan tidak akan membawa sebarang kebaikan melain keburukan dek kerana hasutan syaitan dan iblis sehingga berakhir kepada dosa dan maksiat. Malah amarah akan menjejaskan pahala puasa kita. Apa yang perlu kita lakukan? Sebaiknya beristighfar dan berwudhuk. Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah berwuduk." (HR Abu Daud). 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments