FENOMENA MURTAD YANG MEMBIMBANGKAN!!! TIGA (3) FAKTOR UTAMA KENAPA GEJALA MURTAD SEMAKIN BERKEMBANG

Fenomena murtad dalam kalangan masyarakat Melayu pada hari ini amat membimbangkan dan memberi implikasi negatif dalam masyarakat. Kewujudan fenomena ini adalah bertitik tolak daripada akidah orang Islam itu sendiri yang jahil dengan pegangan agama.


Terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan seseorang itu tergelincir dari landasan akidah dan jatuh dalam kancah murtad. Tiga faktor tersebut adalah faktor individu, keluarga dan masyarakat.


Faktor individu iaitu kejahilan individu dalam agama dan 'rapuh'nya akidah sehingga terlalu mudah dipengaruhi oleh fahaman yang menyesatkan. Individu itu sendiri yang jahil tentang ketuhanan sehingga terlalu mudah terpesong akidah dengan pelbagai ajaran atau fahaman yang menyesatkan. Kini terlalu banyak fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam disebarkan dengan pelbagai cara dan strategi dimana kebanyakannya mempunyai hujah yang sangat kuat dan huraian yang meyakinkan untuk memesongkan akidah umat Islam yang cetek atau tidak ada pengetahuan agama. Ia dikuatkan lagi dengan adanya sokongan daripada kuasa-kuasa besar Barat yang banyak menyumbangkan dana bagi melaksanakan agenda untuk pemesongan akidah umat Islam.  Hal ini menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada kejayaan gerakan memurtadkan umat Islam yang semakin berleluasa di seluruh dunia.


Faktor keluarga iaitu pengabaian tanggung jawab ibu bapa dalam mendidik anak dengan ajaran Islam sehingga membenarkan anasir luar merosakkan akidah anak-anak mereka. Mereka mengabaikan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak untuk menerapkan amalan-amalan ibadah dalam kehidupan beragama Islam. Mereka tidak menanamkan asas-asas agama yang kukuh sehingga anak-anak mengambil pengaruh-pengaruh luar yang merosakkan daripada media sosial, bahan bacaan dan pengaruh rakan yang terlalu mudah meresap dalam diri anak-anak tersebut.  Akhirnya pengaruh negatif yang bertentangan dengan Islam tersebut menjadi sebati dengan kehidupan mereka sehingga membawa kepada kemurtadan.


Faktor masyarakat iaitu semakin ramai anggota masyarakat yang menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan Islam sehingga berjaya mempengaruhi umat Islam yang lemah akidahnya akibat faktor satu dan dua di atas. Sebagai contoh, gerakan missionari Kristian dilihat semakin aktif sehingga berjaya merekrut dalam kalangan masyarakat Melayu untuk menyebarkan Kristian. Bukan itu sahaja, bahkan juga semakin ramai   dalam kalangan pemimpin dan golongan professional Islam yang terpengaruh dengan fahaman liberal sehingga mampu untuk mempengaruhi pemikiran umat Islam terutama generasi muda supaya menjauhi ajaran Islam, berpegang kepada fahaman liberalisme, sekularisme dan ateisme yang bercanggah dengan Islam.


Secara jelasnya, misionari untuk memurtadkan orang Melayu-Islam sentiasa dijalankan dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar. Justeru itu, hanya diri sendiri yang mampu membenteng hati dan pemikiran dari terpengaruh dari anasir-anasir negatif yang boleh menyelewengkan akidah sehingga jatuh murtad. 


Sumber: Jurnal Melayu, Bil. 19(2) 2020

Comments