'IJTIHAD' GOLONGAN ISLAM LIBERAL YANG MENYESATKAN!!! 'BERIJTIHAD' DALAM HUKUM AGAMA YANG TELAH DISEPAKATI (HUKUM YANG QAT'I) KERANA TERPENGARUH DENGAN PEMIKIRAN LIBERALISME BARAT
Ideologi liberalisme muncul atas asbab kebebasan individu sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalisme dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat selama lebih kurang seribu tahun.
Fahaman ini memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep keserataan dan kesaksamaan.
Gerakan Islam liberal yang terinspirasi daripada ideologi liberalisme pula diwujudkan atas dasar kononnya untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama, melalui penghargaan terhadap kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, perjuangan hak asasi manusia serta mempertahankan kebebasan.
Kesemua cita-cita yang digariskan ini sebenarnya bertepatan dengan ajaran Islam. Namun, apa yang dilakukan oleh golongan Islam liberal adalah mereka melakukannya dengan cara menyanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan para ulama. Pintu ijtihad memang dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja untuk merungkaikan sesuatu permasalahan semasa yang berlaku. Namun, ijtihad tidak boleh dilakukan dalam perkara-perkara atau hukum-hukum agama yang sudah disepakati (qat'i) oleh para ulama sejak zaman-berzaman.
Ijtihad hanya boleh dilakukan jika memenuhi syarat-syarat ijtihad yang ketat seperti memang mengusai ilmu agama (alim), memahami bahasa Arab, memahami al-quran dan hadis yang mendalam dan beberapa syarat ijtihad yang lain. Apa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh golongan Islam liberal yang 'berijtihad' untuk mengubah sesuatu hukum Islam yang sudah disepakati kerana semata-mata terpengaruh dengan pemikiran liberalisme Barat adalah satu kesesatan yang nyata yang jauh tersasar dari konsep ijtihad yang dibenarkan dalam Islam.
Faham kebebasan dan hak asasi yang diperjuangkan oleh golongan Islam liberal pula nampaknya hanya mencedok daripada pemikiran dan teori-teori Barat yang sesat kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Sementara Islam mengiktiraf hikmah dan mengambil manfaat produk yang baik daripada mana-mana tamadun, Islam juga mengajar agar kita menyaring terlebih dahulu pemikiran-pemikiran Barat serta memasti ianya benar-benar selari dengan pandangan Islam.
Justeru itu, menjadi tanggungjawab bagi setiap umat Islam untuk berhati-hati daripada terjebak dengan pemikiran Islam liberal ini. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan juga telah memutuskan pemikiran Islam liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam, jadi mengapa masih keliru?
Sumber: al-Bayan Siri 12 – SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Comments
Post a Comment