JAGALAH ADAB BILA BERBEZA PENDAPAT - JANGAN BERPECAH DALAM PERKARA FURU’ (CABANG) KERANA IA AKAN MENGUNTUNGKAN MUSUH ISLAM

 

Umat Islam pada hari ini dinasihatkan untuk tidak terlalu ekstrem dalam menegakkan pendapatnya akibat fahaman aliran yang berbeza  hingga mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam. Perbezaan pendapat dan pandangan itu perkara biasa yang perlu diraikan. Namun, ada ketikanya perbalahan berlaku disebabkan cetusan pendapat yang berbeza. Masing-masing mahu menegakkan kebenaran pendapat sendiri saja mempelekehkan pandangan lain seolah-olah hanya pandanganya yang betul dan tidak mahu bertoleransi dengan pendapat orang lain. Firman Allah SWT:

“Jika kamu berselisih pada sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat…” (QS An – Nisa: 59).

Contoh yang boleh diambil adalah berkenaan isu yang berkaitan fahaman siapa yang lebih benar antara golongan wahabi, yang dikatakan lebih mengutamakan manhaj Salaf dan fahaman para agamawan pondok dan kesufian yang lebih dikenali dengan fahamannya yang lebih menjurus ke arah mazhab Khalaf. Kedua-dua fahaman ini masih lagi terkait dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang mana mereka menggunakan al – Quran dan As – Sunnah sebagai rujukan. 

Namun, seiring dengan peredaran zaman ada beberapa perkara yang diubah mengikut masa dan keadaan tetapi tetap berpegang dengan panduan al – Quran dan As – Sunnah. Akan tetapi, di antara dua kelompok ini mereka saling mempertahankan bahawa fahaman dan manhaj mereka yang lebih tepat sehinggakan ada sekelompok daripada mereka ini saling menyalahkan dan mempertahankan mereka sahajalah yang paling benar malah sampai ke suatu tahap saling mengkafirkan atau menyesatkan di antara satu sama lain.

Sepatutnya apa yang patut dilakukan oleh kita semua adalah mencari satu solusi untuk penyatuan dan bukan mencari perseteruan. Tidak kiralah dalam aliran apa sekalipun asalkan tidak terpesong daripada al – Quran dan As – Sunnah. Setiap perselisihan itu hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan As -Sunnah. Mana-mana pandangan yang bertentangan dengan al-Quran dan As-Sunnah, hendaklah ditolak. Jangan dek kerana perbezaan pendapat dalam perkara furu’ (masalah cabang terutamanya masalah fiqih bukannya perkara asas), kita umat Islam harus berpecah sesama sendiri. Tahukah kita andai umat Islam berpecah belah siapa yang lebih untung? Musuh Islam! Mereka sentiasa mencari peluang untuk memecahbelahkan umat Islam agar umat Islam berada di satu titik lemah dan mereka akan menyerang kita dari segenap arah. 

Ambillah sifat seperti Imam As – Syafie yang meraikan perbezaan pendapat dengan penuh tertib dalam etika adab keilmuan yang tinggi. Beliau pernah mengungkapkan satu ayat:

“Apakah kita tidak boleh berbeza pendapat, dalam masa sama kita menjadi saudara.”

Kata-kata itu melambangkan betapa terbukanya sikap beliau meraikan perbezaan pendapat. Bagaimanapun, beliau hanya berbeza pendapat dalam hal ehwal ilmu. Selepas sesuatu perbahasan ilmu selesai, ‘perselisihan’ itu tidak dibawa bersama, sebaliknya beliau sentiasa mempamerkan watak sebagai seorang yang akrab dengan orang yang berbeza pendapat dengannya. Ambillah pengajaran daripada sikap terpuji Imam as-Syafie ini. Beliau tidak lantang bersuara ‘berkempen’ kepada masyarakat hanya pendapatnya yang betul dan pendapat orang lain salah. Belajar bagaimana sikap beliau yang lebih utamakan ukhuwah Islamiah berbanding menegakkan pendapat sendiri. Usah cepat menuding jari pendapat seseorang itu bertentangan dengan sunah dan jauhkan diri untuk melemparkan kata-kata hinaan terhadap pendapat tokoh yang lain. Sikap sedemikian bukanlah akhlak Islamiyah yang baik malah dilarang keras oleh Allah SWT kerana Islam amat mementingkan pengukuhan ukhwah antara sesama umat Islam.

Sumber: Harakah Daily (22 Oktober 2020)


Comments