JUMAAT PENGHULU SEGALA HARI - 5 AMALAN HARI JUMAAT YANG PERLU DILAKUKAN OLEH UMAT ISLAM UNTUK MENDAPAT GANJARAN DARIPADA ALLAH SWT
Apabila tibanya hari Jumaat, semua umat Islam mengakui bahawa ianya penghulu segala hari dan hari yang terbaik di antara semua hari kerana pada hari Jumaat jugalah terdapat peristiwa penting yang berlaku. Antaranya diciptakannya Nabi Adam A.S dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Nabi Adam A.S dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Rasulullah SAW bersabda:
"Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat.." (HR Muslim).
Sebagai umat Islam, harus kita ketahui bahawa ada berberapa amalan sunnah yang boleh dilakukan pada hari Jumaat kerana hari tersebut terkumpulnya segala fadhilat dan kelebihan dalam beramal. Maka sepatutnya kaum Muslimin menjadikannya sebagai satu peluang untuk direbut bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti amalan mereka. Antara 5 amalan yang dianjurkan oleh syarak adalah:
1) Membersihkan diri. Perkara ini ada yang utama dilakukan oleh seorang Muslim sebelum beribadah kerana Islam sangat menitikberatkan kebersihan sebelum kita menghadap Allah SWT. Mandi, bersugi, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian yang terbaik adalah sangat digalakkan bahkan mendapat pahala sebelum datang ke masjid.
2) Membaca Surah Al - Kahfi. Terdapat pelbagai kelebihan membaca Surah Al Kahfi antaranya menghindarkan diri daripada fitnah dajjal dan juga akan memperoleh pengampunan dosa diantara dua Jumaat. Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa membaca Surah Al Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” (HR Hakim & Baihaqi).
3) Berselawat Kepada Nabi Muhammad SAW. Memperbanyakkan berselawat kepada Nabi SAW adalah digalakkan pada setiap masa. Namun, pada hari Jumaat lebih diutamakan kerana lebih banyak kelebihan dan berganda pahalanya. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat telah berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (Nabi).” (QS Al - Ahzab: 56).
4) Solat Jumaat. Menunaikan solat Jumaat bagi lelaki yang cukup syaratnya adalah wajib kecuali jika terdapat keuzuran yang dibenarkan syarak. Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
5) Bersedekah. Salah satu amalan yang begitu digalakkan pada hari Jumaat adalah memberi sedekah. Jika kebiasaan hari kita tidak sempat untuk bersedekah, maka eloklah kita jadikan tabung masjid pada hari jumaat sebagai tabung pahala kita. Allah SWT juga akan melipat gandakan ganjaran bagi orang yang bersedekah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (QS Al - Baqarah: 261).
Justeru, hendaklah kita sebagai umat Islam memanfaatkan peluang ini dengan melakukan amalan sunnah tersebut bagi mendapat ganjaran yang lebih besar daripada Allah SWT. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariatNya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata keranaNya, Amin.
Sumber: Laman Web Pusat Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Comments
Post a Comment