MARHABAN YA RAMADAN REBUTLAH PELUANG DI BULAN YANG PENUH BAROKAH UNTUK MENYUCIKAN JIWA DAN MELIPAT GANDAKAN PAHALA DENGAN MENGERJAKAN AMALAN KEBAIKAN


Hari ini merupakan hari kedua umat Islam menyambut bulan yang suci, iaitu bulan Ramadan. Kehadirannya sangat dinanti kerana Ramadan adalah bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT sebagai 'Syahrul Magfirah' (bulan keampunan) dan 'Syahrul Najah' (Bulan Kemenangan dan pembebasan dari api neraka). 

Bagi umat Islam, selain kewajipan berpuasa di siang hari, Ramadan adalah pesta ibadah untuk setiap Muslim melakukan lebih banyak kebajikan. Ramadan adalah detik dan peluang terbaik yang disediakan oleh Allah SWT buat setiap Muslim untuk  menggandakan pahala dan memohon keampunan dengan berpuasa pada siangnya dan menghidupkan malam-malamnya dengan qiyamullail, beriktikaf dan bertadarus Al-Quran. Sabda Rasulullah SAW: 

"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa." (HR Thabrani). 

Ramadan adalah bulan istimewa kerana sepanjang 30 hari berpuasa, ia dipenuhi keberkatan siang dan malam. Amalan sunat di kurniakan pahala fardu dan yang fardu digandakan 70 kali. Ramadan juga adalah bulan dijanjikan Allah tawaran pengampunan dosa yang lalu. Jika sebelum ini kita kurang melakukan ibadah dan amal, apa kata di bulan Ramadan tahun ini kita bertekad untuk melakukan lebih banyak kebajikan dan amal ibadah demi mengharapkan pahala yang berganda dari Allah SWT. 

Paling istimewa umat Islam dikurniakan satu malam yang sangat istimewa iaitu 'lailatul-qadr' (malam qadr) di mana sesiapa yang melakukan ibadah di malam tersebut akan diberi ganjaran pahala yang menyamai 1,000 bulan (83 tahun 4 bulan) mereka melakukan ibadah. Umat Islam amat dituntut agar mencari 'lailatul-qadr' yang dirahsiakan oleh Allah, bilakah berlakunya malam tersebut. Oleh itu, umat Islam sangat dianjurkan untuk memenuhkan sepanjang malam di bulan Ramadan dengan amal ibadah agar bertemu dengan malam al-qadr tersebut. Di samping itu umat Islam juga sepatutnya merebut peluang ganjaran pahala berlipatganda yang ditawarkan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadan ini dengan melakukan apa saja kerja kebajikan dan ibadah. Natijahnya, apabila pengisian Ramadan dipenuhi dengan penuh keikhlasan dan kesabaran maka setiap individu muslim akan mendapat takwa dan kembali kepada keadaan fitrah yang suci jiwanya. Insan yang bertakwa akan membina benteng persediaan yang kukuh dalam menghadapi bulan-bulan mendatang yang penuh cabaran. 

Oleh itu, selain dari berpuasa marilah kita menggunakan peluang ini untuk menyucikan jiwa kita daripada "kotoran" lampau dalam usaha untuk melipat gandakan pahala amal ibadah kita di bulan yang penuh dengan pengampunan ini. Apa guna jika kita berpuasa tetapi atitud dan sikap kita masih sama seperti sebelumnya tanpa ada sebarang perubahan? Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas." (HR Bukhari dan Muslim). 

Sumber: Astro Awani (12 Mei 2019).


 

Comments