MEMBURU 'LAILATUL QADAR' - PERTINGKATKAN AMAL IBADAH DI 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN UNTUK MERAIH PAHALA YANG BERGANDA DAN KEAMPUNAN DOSA OLEH ALLAH SWT
Lailatul Qadar merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesungguhnya, Allah SWT mengabadikan malam yang terbaik itu di dalam surah al-Qadar. Allah SWT berfirman:
Malam al-Qadar (Lailatul Qadar) itu lebih baik daripada seribu bulan.” (QS Al – Qadr: 3).
Suruhan agar umat Islam merebut ganjaran Lailatul Qadar pada penghujung Ramadan menunjukkan bahawa Ramadan merupakan satu bulan yang sarat dengan peluang meraih ganjaran Ilahi. Peluang untuk meraih ganjaran daripada Allah SWT bertujuan untuk membebaskan diri daripada dosa yang pernah dilakukan selama ini. Usaha menggandakan amalan pada malam Al-Qadar dengan penuh ikhlas dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT melayakkan seseorang untuk mendapat pengampunan daripadaNya.
Dalam sebuah hadis, dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
“ Sesiapa yang bangun pada malam Al-Qadar ( untuk solat atau berzikir ) dengan hati yang ikhlas dan terdorong oleh iman dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim).
Besar ertinya malam Al-Qadar ini. Jika dibaca pelbagai penerangan tentang malam tersebut, terdapat tiga objektif utama yang begitu penting bagi kita untuk memburu malam yang sangat dinanti itu. Pertama, malam yang harus kita dapatkan untuk menebus segala dosa kesilapan kita yang lalu. Kedua, mengundang malaikat (sebagai aulia) untuk bertamu di hati kita bagi memandu menelusuri kehidupan ke arah kebaikan. Para ulama kontemporari berpendapat, malaikat-malaikat yang diturunkan dengan izin Allah SWT pada malam tersebut bukan setakat bertugas untuk membawa naik amalan-amalan manusia, ia adalah lebih daripada itu. Terakhir, berdoa memohon kepada Allah SWT agar segala urusan dipermudahkan sehingga bertemu Lailatul Qadar berikutnya.
Oleh itu, sebagai umat Islam yang sentiasa mengharapkan pengampunan daripada Allah SWT, marilah kita sama-sama memburu Lailatul Qadar ini dan bukannya menunggu ketibaannya. Amat rugilah bagi sesiapa yang tidak bersungguh-sungguh beribadah pada malam tersebut. Sesungguhnya, kita tidak mengetahui adakah kita dapat bertemu semula dengan bulan Ramadan dan Lailatul Qadar pada masa akan datang. Maka, marilah bersama-sama memberikan tumpuan yang sepenuhnya pada sepuluh malam terakhir kerana terdapat Irsyad yang kuat daripada Nabi Muhammad SAW.
Semoga Allah SWT memberi rezeki kepada kita untuk berjumpa dengan Lailatul Qadar pada tahun ini dan pada tahun-tahun yang akan datang dalam masa yang sama kita juga beribadah kepada Allah SWT dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT supaya Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu. Sabda Rasulullah SAW:
"Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, pada malam yang ke sembilan tersisa, malam yang ke tujuh tersisa, malam yang ke lima tersisa". (HR Bukhari).
Sumber: Portal Jejak Tarbiah (www.jejaktarbiah.com)
Comments
Post a Comment