MENGGANGGU ORANG YANG BERIBADAH TERUTAMANYA DI 10 TERAKHIR RAMADAN DENGAN 'PESTA MERCUN DAN BUNGA API' ADALAH PERBUATAN YANG DILARANG DAN BERDOSA HINDARILAH!!!
Menjelang 10 terakhir Ramadan ini, ada sebahagian daripada kita yang sudah mula ghairah untuk menyambut ketibaan syawal. Maka, akan kedengaranlah dentuman mercun dan bunga api di serata tempat. Akan tetapi, itu bukanlah ‘lesen’ besar buat kita untuk mengganggu ibadah orang lain yang sedang memburu malam Lailatul Qadar.
Perbuatan ini perlu diberi perhatian serius agar masyarakat menjadi lebih peka terhadap tuntutan Islam. Bunyi mercun kuat yang mengganggu jemaah menunaikan solat boleh mengundang rasa tidak selesa bagi mereka yang sedang beribadah. Ingatlah perbuatan mengganggu orang yang sedang solat termasuk perkara mendatangkan dosa. Allah SWT mengingatkan manusia mengenai dosa menyakiti orang lain khususnya kepada mereka yang sedang berusaha mencari keredaanNya. Firman Allah SWT:
"Dan orang yang mengganggu serta menyakiti orang lelaki beriman dan orang perempuan beriman dengan perkataan atau perbuatan tidak tepat dengan sesuatu kesalahan dilakukannya, sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta serta berbuat dosa yang amat nyata." (QS al – Ahzab: 58).
Bahkan dalam hal ini, Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya agar menjaga tingkah laku supaya tidak menyakiti orang Islam lain. Tindakan bermain bunga api dan mercun yang menghasilkan bunyi kuat ternyata mengganggu jemaah jika ia dilakukan di kawasan berhampiran rumah Allah SWT. Tidakkah umat Islam yang melakukan perkara itu berasa bersalah kerana melakukan perbuatan buruk dengan mengganggu orang lain yang sedang mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT? Sabda Rasulullah SAW:
"Seorang Muslim yang baik adalah orang yang Muslim lain selamat daripada lisan dan tangannya." (HR Bukhari).
Justeru dalam hal ini, tidak kira apa latar belakang kita sama ada yang dewasa mahupun para remaja haruslah menghormati sesama Muslim. Seharusnya kita juga perlu mengisi masa yang ada dalam 10 terakhir Ramadan ini dengan turut serta melakukan ibadah seperti yang disebutkan seperti di atas. Sedangkan dalam solat, ada doa yang dibacakan bagi memohon kesejahteraan untuk seluruh umat Islam. Mana mungkin kebaikan orang yang menunaikan solat dengan ada bacaan padanya mendoakan orang Islam lain, tetapi perbuatan mulia itu dibalas dengan perbuatan menyakiti mereka.
Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat dan keampunan-Nya kepada seluruh umat Islam pada 10 malam terakhir Ramadan bagi mencari Lailatulqadar. Lailatulaqadar adalah satu malam yang diselubungi dengan kesejahteraan dan keampunan daripadaNya.
Sumber: Harian Metro (25 April 2022)
Comments
Post a Comment