PERBANYAKKANLAH BERDOA DI BULAN RAMADAN KERANA DOA SESEORANG YANG BERPUASA TIDAK AKAN DITOLAK OLEH ALLAH SWT
Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya dengan kekuatan sebuah doa. Apatah lagi kita di dalam 10 terakhir bulan Ramadan, sudah pasti doa itu akan menjadi mustajab dan diperkenankan oleh Allah SWT. Dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah SAW bersabda:
"Allah berfirman: ‘Semua amal anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Siapa yang memerlukan doa kita? Sudah tentu untuk diri kita sendiri, keluarga dan juga umat Islam di seluruh dunia. Mengambil kira contoh yang berlaku di bumi Palestin pada ketika ini. Bila mana kita sedang asyik beribadah tanpa ada gangguan, saudara-saudara kita di sana bermati - matian mempertahankan tempat suci iaitu Masjid Al -Aqsa daripada terus diceroboh oleh rejim yahudi laknatullah.
Jadi, di sini lah peranan kita sebagai umat Islam menadah tangan dan berdoa untuk kesejahteraan dan keselamatan para saudara seagama kita di sana. Doa orang beriman yang berpuasa kerana Allah SWT ini tidak akan sesekali ditolak oleh Allah SWT. Nabi SAW bersabda:
Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi” (HR Ibn Majah)
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW juga bersabda:
"Ketika sedang berbuka, seseorang yang berpuasa memiliki satu doa yang tidak akan ditolak oleh Allah.” (HR Ibnu Majah).
Oleh itu, sebagai umat Islam yang patuh dan taat akan suruhan Allah SWT hendaklah wajib menadah tangan dan berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusan dan diselamatkan di dunia dan akhirat. Berdoa dan beramal lah agar kita sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment