PERISTIWA ADE ARMANDO DIBELASAH - SATU PERINGATAN!!! PENGHINAAN GOLONGAN LIBERALISME TERHADAP AGAMA ISLAM BOLEH MENIMBULKAN ANCAMAN KESELAMATAN YANG SERIUS

 

Asimilasi pemikiran dan gaya hidup barat dalam agama Islam sepertimana yang menjadi pegangan golongan Islam liberal bukanlah satu perkara yang boleh dijadikan contoh kerana ternyata asas pemikirannya adalah menyalahi akidah dan syariah agama Islam itu sendiri. 

Walaupun di Malaysia Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan fahaman liberal sebagai sesat semenjak tahun 2006 lagi, namun mereka tetap konsisten dan tersusun dalam memastikan usaha penyebaran fahaman Islam liberal ini mencapai matlamatnya. Mereka akan menjadi agresif apabila timbul isu kebebasan dan hak asasi manusia, bahkan lebih merunsingkan apabila terdapat persatuan-persatuan NGO tempatan mahupun antarabangsa memberikan sokongan padu terhadap perjuangan liberal ini. Secara tidak langsung hal ini akan menimbulkan kemarahan umat Islam yang komited dengan Islam dan menimbulkan kecenderungan untuk mengambil tindakan kerana merasakan Islam dihina dan dipermainkan. Hal ini menimbulkan sentimen kebencian, dendam, marah sehingga mencederungkan ke arah berlakunya ancaman keselamatan.

Sebagai contoh baru-baru ini di Indonesia kecoh berkenaan seorang pensyarah Universiti Indonesia yang merangkap Ketua Pergerakan Indonesia untuk Semua (PIS), Ade Armando, teruk dibelasah orang ramai semasa dia memantau demonstrasi  114 mahasiswa  di sebuah Gedung DPR, Indonesia. Kemunculannya telah menjadi perhatian peserta demonstrasi lalu ‘membelasah’ Ade kerana kelantangannya menghina Islam sebelum ini walaupun secara zahirnya Ade mengaku bahawa dia merupakan seorang Muslim.

 Antara kata-kata Ade Armando yang kerap menyinggung umat Islam adalah:
i- Syariah itu tidak ada, saya Muslim tetapi tidak percaya syariah;
ii- Azan itu hanyalah panggilan biasa;
iii- Al-Quran itu boleh dibaca dengan cara Minang, Sunda, Jawa dan lain-lain;
iv- Tidak ada perintah solat lima waktu dalam al-Quran;
v- Haji dan Umrah perlu dihapuskan kerana memiskinkan umat Islam;
vi- Menuduh orang Islam bodoh, banyak konflik, suka bergaduh dan ketinggalan zaman dll.

Akibat daripada kata-kata nista menghina agama Islamoleh Ade Armando yang memegang fahaman Islam liberal samada secara maya (channel youtube: CokroTV, Facebook) atau secara fizikal telah menyebabkan berlakunya rusuhan dalam kalangan masyarakat awam. Suasana ini juga memperlihatkan bahawa tanpa disedari kebanyakan umat Islam telah dipengaruhi dengan fahaman liberal dengan memandang enteng terhadap akidah, syariah dan akhlak yang dianjurkan oleh agama Islam itu sendiri dek kerana terpedaya dengan ideologi barat yang memesongkan.

Peristiwa yang berlaku di negara jiran ini seharusnya dijadikan iktibar kerana jika tidak dibendung dari peringkat awal oleh pihak-pihak bertanggungjawab, sudah pasti akan wujudnya gerakan terang-terangan seperti Jaringan Islam Liberal di Indonesia mahupun aktivis-aktivis seperti Ade Armando, G25, Sister in Islam dan sebagainya lantang memperjuangkan fahaman liberal seterusnya membuka ruang konflik dalam masyarakat awam sehingga boleh memberi ancaman keselamatan kepada negara.

Sumber: FiN FAJAR INDONESIA NETWORK – 13 APR 2022 dan  inilah.com


Comments