SYARAT MERAIH FADILAT RAMADAN - BUKAN SEKADAR MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA TETAPI 'BERPUASALAH' SEMUA PANCAINDERA DARI TIDAK BERMAKSIAT KEPADA ALLAH SWT
Apabila kita bercakap soal bulan Ramadan, ia bukan sahaja tertumpu kepada soal menahan lapar dan dahaga sahaja. Malah, kita juga perlu mengawal dan menjaga segala pancaindera kita dari terus melakukan maksiat di sepanjang bulan suci ini. Sebagai contoh, puasa mata dengan cara menahan penglihatan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan, memejamkannya dari perkara-perkara yang kotor dan keji dan menguncinya daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Katakanlah kepada lelaki beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka.” (QS An – Nur: 30 – 31).
Seperkara lagi, puasa lidah. Patutkah diberikan pahala puasa yang sempurna bagi orang yang dipermainkan oleh lidahnya, diperdaya oleh ucapannya dan ditipu oleh perkataannya? Sempurnakah puasa orang berdusta, menipu orang lain, gemar memaki hamun dan mengumpat serta ‘membawang’ di sana - sini? Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”. (HR Bukhari dan Muslim).
Begitu juga dengan pancaindera yang lain seperti telinga, tangan, kaki dan termasuk hati. Mengapa kita perlu menjaga kesemua pancaindera ini? Kerana ia semua akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak seperti FirmanNya:
“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (QS Al – Isra’: 36).
Di antara kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum serta mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota daripada melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam, seperti menjaga lidah dan lainnya. Oleh itu, hendaklah seboleh-bolehnya kita mengelak daripada melakukan perkara yang merosakkan puasa, maka (seseorang yang berpuasa) digalakkan oleh Islam agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, berselawat dan sebagainya. Ingatlah, bercakap baik juga satu pahala.
Sumber: Astro Awani (17 Julai 2014)
Comments
Post a Comment