SYIAH SUDAH LAMA DIFATWAKAN HARAM - PENGHARAMAN OLEH MAJLIS FATWA KEBANGSAAN ADALAH KERANA AJARAN SYIAH BERCANGGAH SAMA SEKALI DENGAN ASWJ SAMA ADA AKIDAH, SYARIAT DAN AKHLAK

 

Syiah sudah secara jelasnya bukanlah sebahagian daripada mazhab dalam Islam. Bahkan Syiah adalah satu ajaran menyeleweng daripada Islam dan perkara itu sudah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) sejak 1996. 

Secara asasnya kejayaan revolusi Iran telah menjadi titik mula kepada perkembangan Syiah di Malaysia. Kejayaan gerakan Syiah yang menggulingkan golongan diraja sedikit sebanyak telah menjadikan Iran dipandang tinggi oleh umat Islam di Malaysia termasuklah para pemimpin yang berpandangan untuk mendirikan sebuah negara Islam di Malaysia berasaskan kepada pimpinan di Iran.

Oleh sebab itu sedikit demi sedikit doktrin atau fahaman Syiah mula menyusup dalam masyarakat tanpa disedari bahawa fahaman Syiah tersebut bukanlah satu mazhab dalam Islam dan ternyata telah terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Kewujudan hauzah-hauzah di Malaysia turut menjadi punca tercetusnya konflik antara penganut Sunni dan Syiah.

Perkembangan doktrin Syiah menjadi semakin rancak apabila para pelajar Malaysia yang baru pulang dari Iran turut memperluaskan lagi ajaran Syiah di kalangan masyarakat setempat. Perkara ini telah memaksa para ulama untuk bersidang bagi memutuskan sesuatu fatwa yang bertepatan. Oleh itu, pada 1984, keputusan muzakarah menetapkan hanya dua aliran mazhab Syiah yang dibenarkan untuk diamalkan iaitu Syiah Zaidiyah dan Syiah Jaafariah. 

Namun, pada 5 Mei 1996, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MFK) Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa semua mazhab aliran Syiah adalah bersifat sesat serta dilarang untuk diamalkan. Keputusan ini telah membatalkan mana-mana keputusan sebelumnya dan menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Seluruh negeri turut menggazetkan keputusan MFK ini, ianya bermakna sebarang bentuk penerbitan, penyiaran dan penyebaran dalam apa jua bentuk berhubung ajaran yang bertentangan dengan ASWJ di mana-mana kawasan di dalam Malaysia adalah diharamkan.

Sumber: My Metro - Temubual bersama Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan


Comments