TAWARAN ISTIMEWA RAMADAN DISEDIAKAN PAHALA YANG BESAR KEPADA SESIAPA YANG MEMBERI MAKAN ORANG YANG BERPUASA JANGAN TERLEPAS PELUANG KEEMASAN INI!!!
Dalam bulan Ramadan, kita amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Memberi atau menyediakan makanan buat orang yang berpuasa adalah salah satu sifat yang murni dan disukai oleh Allah SWT. Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam (557-660H), seorang tokoh ulama mazhab Syafi'e yang terkenal dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa:
“Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” (Rujukan: Kitab Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam, halaman 18).
Hal ini adalah kerana setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
"Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala." (QS al-An'aam: 160).
Justeru, apabila seseorang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa, maka keseluruhannya dia mendapat 360 ganjaran iaitu merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalender hijrah.
Manakala dalam sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Siapa memberi makan berbuka bagi seorang yang berpuasa baginya seumpama ganjaran orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.” (HR Tirmidzi).
Menyediakan makanan bagi orang yang berpuasa adalah termasuk dalam kategori sedekah. Ia juga merupakan manifestasi jiwa dermawan yang sudi memberi sama ada atas nama sedekah kepada orang miskin yang berpuasa atau sebagai hadiah kepada orang kaya. Istimewanya sekiranya kita melakukan amalan ini ialah ia merupakan sedekah dan hadiah bagi menyempurnakan ibadah orang yang melakukan ibadah. Hal ini kerana ia merupakan satu perlakuan memuliakan dan menghargai orang-orang yang beribadah dengan berpuasa.
Wahai umat Islam, janganlah kita lepaskan peluang ini untuk melipatgandakan pahala kita dengan melakukan kebaikan ini di bulan Ramadan. Walaupun bukan sepanjang bulan Ramadan dan jumlah yang disedekahkan itu tidak banyak, ia sudah pun mencukupi untuk kita mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT. Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.” (HR Baihaqi).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Comments
Post a Comment