WASPADA GERAKAN ATEIS!!! MENGGUNAKAN WACANA KETUHANAN (KETIDAKWUJUDAN TUHAN DAN KONSEP NATURALISME) UNTUK MENGELIRUKAN UMAT ISLAM
Persoalan Tuhan selalu menarik untuk dibicarakan kerana sebahagian manusia meyakini kewujudan Tuhan dan sebahagian lagi menolak kewujudan Tuhan. Maka tidak hairanlah jika ada istilah teisme (percaya adanya Tuhan) dan ateisme (tidak percaya adanya Tuhan).
Ateisme ditimbulkan oleh kebencian terhadap agama dan keinginan bebas darinya. Oleh sebab itu ramai yang menjadi liberalist, ada yang ingkar terhadap Tuhan (ateis), ada yang ingkar terhadap agama (infidel), ada pula yang menolak pengetahuan tentang Tuhan serta kewujudannya (agnostik). Selain itu, ada juga yang meragukan wahyu Tuhan (skeptik), menolak Kitab Injil atau al-Quran sebagai wahyu Tuhan (deist) dan ada juga yang menolak wahyu secara intelektual (disbeliever/unbeliever). Maka terdapat banyak jalan untuk meyakini bahawa ia menjadi ateisme.
Pemikiran ateisme memanfaatkan hadirnya moderniseme dengan sikap, pandangan hidup dan tindakan perlulah berasaskan rasional, jelas, bukan khayalan atau tanpa bukti. Kemuncaknya apabila golongan ateisme menuntut kebebasan untuk mengiktiraf mereka sebagai tidak memiliki agama.
Sebagai makluman, golongan ateis ini bukan sahaja terfokus di Barat, malah ideologi ateisme ini telah merebak sehingga di Malaysia. Menyedari kelompok mereka telah berada di seluruh dunia, melalui laman web ‘Atheist Republic’, mereka telah mula merangka untuk mewujudkan sebuah organisasi khusus untuk golongan ateisme. Gerakan ateis ini juga telah menubuhkan cawanganya di Kuala Lumpur yang dikenali sebagai 'The Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur'. Sebagai langkah awal, gerakan ateis ini telah melancarkan sebuah tabung untuk mengutip dana daripada syarikat-syarikat korporat seluruh dunia mahupun individu-individu yang mempercayai keyakinan yang dipegang oleh mereka bagi tujuan tersebut. Dengan penubuhan tersebut mereka mengharapkan lebih ramai orang percaya terhadap doktrin yang dibawa. Dengan adanya laman facebook yang diwujudkan khusus buat golongan ateis seluruh dunia ini, gerakan ateis ini dikatakan berjaya menjejak mereka yang menolak kewujudan Tuhan dan sehingga kini mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta di facebook.
Kita sebagai umat Islam sedarlah bahawa wacana ketuhanan ateisme menjadi satu wacana yang sangat bahaya kerana menggiatkan pemikiran dan pemahaman ketidakpercayaan terhadap kewujudan Tuhan dan penciptaan alam yang tidak ada keterkaitannya dengan Sang Pencipta Alam. Sehingga timbullah sikap naturalisme yang menyatakan bahawa alam itu berdiri sendiri dan tidak ada campur tangan Tuhan.
Oleh itu, kewujudan gerakan ateis ini tidak seharusnya dipandang remeh dan sepi. Tindakan segera perlu diambil untuk membendung penularan fahaman ateis yang menolak kepercayaan Tuhan, bagi memastikan doktrin berkenaan tidak berleluasa di negara ini sehingga di luar kawalan. Jika dibiarkan, adalah tidak mustahil ia akan menjadi barah yang suatu masa nanti akan mendatangkan malapetaka yang besar terhadap pegangan akidah umat Islam di negara kita ini.
Sumber: Journal KALIMAH, Vol. 17(1), 2019
Comments
Post a Comment