4 FAKTOR UTAMA KENAPA GEJALA MURTAD SEMAKIN MENJADI-JADI SEMUA UMAT ISLAM BERTANGGUNGJAWAB UNTUK MEMBENDUNGNYA!!!

 4 FAKTOR UTAMA KENAPA GEJALA MURTAD SEMAKIN MENJADI-JADI


SEMUA UMAT ISLAM BERTANGGUNGJAWAB UNTUK MEMBENDUNGNYA!!!

Murtad merupakan jenayah akidah yang bukan sekadar mencemar imej Islam, bahkan menyebabkan lenyapnya identiti diri sebagai Muslim yang merdeka dan syumul, lalu terperangkap dalam identiti yang tidak diredhai oleh Allah s.w.t.


Persolannya, mengapakah gejala murtad kini semakin menjadi-jadi? Menurut kajian terdapat beberapa faktor yang menyumbang berleluasanya gejala murtad dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia. Antaranya termasuklah:

1. Jauh daripada Ajaran Islam

Segelintir masyarakat Muslim mula berasa ajaran di dalam al-Quran tidak lagi realistik mengikut peredaran zaman. Akibatnya, akidah mulai goyah dan mulai mempertikaikan ajaran Islam. Masyarakat Muslim yang bersungguh-sungguh mempertahankan agama Islam dianggap sebagai musuh. Maka, berlakulah perpecahan yang mengakibatkan lahirnya individu yang merosakkan Islam.


2. Muncul Idealisme Barat yang menyesatkan dalam pemikiran masyarakat Muslim seperti pluralism agama, sekularisme, liberalisme dan orientalisme.

Kononnya mereka yang masih berpegang pada agama terutamanya agama Islam dianggap sebagai seorang yang kolot, mundur dan tidak mengikuti perkembangan kemodenan. Kehidupan agama dikatakan telah membataskan kebebasan dan sentiasa duduk dalam takuk yang sama.


3. Propaganda Media Barat

Propaganda media Barat yang meluas dan bertujuan untuk merosakkan Islam melalui pelbagai tohmahan terhadap ajaran Islam. Islam juga sering dikatakan sebagai agama yang menganjurkan keganasan kerana adanya perintah berjihad memerangi kafir sehingga meluaskan sentimen Islamofobia. Mereka sengaja menimbulkan keraguan untuk memesongkan fikiran umat Islam.


4. Kurang pentarbiahan dan pendidikan agama. 

Kekuatan umat Islam terdahulu hasil daripada asas didikan agama. Generasi sahabat, tabiin dan salafussoleh telah ditarbiah melalui pendidikan dan keimanan yang mantap sehingga sanggup berkorban nyawa demi Islam. Namun begitu, didikan keimanan seperti generasi terdahulu kini mulai hilang sedikit demi sedikit dalam diri umat Islam. 


Disebabkan oleh faktor-faktor tersebut, akibatnya mereka mula meringan-ringankan perkara berkaitan agama. Maksiat menjadi sebahagian daripada normalisasi disebabkan kurang atau tiada tarbiah yang ampuh tentang Islam yang akhirnya melemahkan umat Islam itu sendiri.


Peruntukan undang-undang di Malaysia juga wajar diperkasakan dan perlu ditangani dengan hikmah agar tidak menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk bagi mengekalkan keharmonian hidup.


Sumber: Artikel Dewan Tamadun Islam, Bil.7 2019, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Comments