AWAS!!! 'IJTIHAD' SESAT GOLONGAN ISLAM LIBERAL YANG MENGHALALKAN LGBT ATAS NAMA HAK KEBEBASAN MANUSIA

 

Antara pandangan-pandangan baharu yang dikeluarkan atas nama ijtihad dan penafsiran semula al-Quran ialah berkenaan isu homoseksual dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

Beberapa penulis di laman web Islam liberal Indonesia, Khoirul Anwar dan Khoirul Anam secara terang-terang menyebut bahawa tiada satupun ayat dalam al-Quran secara terang dan nyata menolak LGBT, mahupun yang menerimanya. Maka, menurut penulis tersebut, setiap orang bebas mengemukakan tafsiran masing-masing.

Hal ini pastinya bercanggah dengan firman Allah SWT yang secara jelas menempelak umat Nabi Luth AS yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki. Sebahagian mereka berhujah bahawa yang diharamkan ialah hubungan seks secara paksa (non-consensual sex), dan bukannya perilaku homoseksual itu sendiri, berdasarkan perlakuan rakus kaum Nabi Luth yang mendesak Baginda menyerahkan dua tetamu tampan (yang sebenarnya malaikat utusan Allah SWT) untuk memenuhi nafsu songsang mereka. Namun hujahan mereka ini jelas ditolak melalui ayat 166 Surah as-Syu’ara ini yang secara terang menempelak perlakuan homoseksual itu sendiri.

Lebih menghairankan, mereka turut menjadikan riwayat-riwayat sejarah tentang adanya pemimpin kerajaan Muslim yang berorientasi homoseksual dan kewujudan syair-syair Arab yang berunsur homoseksual sebagai dalil bahawa LGBT itu merupakan sebahagian ciptaan Allah SWT yang mesti dipertahankan kewujudan mereka atas dasar kepelbagaian.

Hal ini menunjukkan bahawa ijtihad telah dijadikan alasan dalam mengeluarkan pendapat-pendapat baru yang kelihatannya amat jauh daripada kefahaman Islam mengikut penafsiran ulama-ulama muktabar sejak dahulu hinggalah sekarang ini. Golongan Islam liberal berusaha untuk mengubah tafsiran Islam agar selaras dengan keadaan manusia. Perbuatan memahami teks wahyu dalam kerangka duniawi, adalah bersalahan dengan sikap Muslim yang sepatutnya terhadap wahyu. Muslim sepatutnya menurut panduan wahyu sepenuhnya, bukan berusaha mengubah fahaman wahyu agar selaras dengan perspektif manusiawi dan duniawi. 

Kecenderungan ke arah pentafsiran semula ayat-ayat al-Quran berkenaan isu LGBT ini juga kesan daripada perubahan sikap tamadun Barat terhadap kelompok ini. Adalah dipercayai dan diyakini sekiranya masyarakat Barat pada hari ini tidak mengangkat dan memperjuangkan hak LGBT, nescaya kalangan Muslim liberal tidak akan membangkitkan isu ini.

Sumber: al-Bayan, Siri 12, SS Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri


Comments