BAHAYA FAHAMAN EKSTREM HIZBUT TAHRIR!!! IBARAT BOM JANGKA YANG BOLEH MELETUS DAN MEMUSNAHKAN KEHARMONIAN NEGARA JIKA TIDAK SEGERA DIBENDUNG

 

Hizbut Tahrir seperti yang telah diketahui umum merupakan oganisasi transnasional yang mengikut mereka ditubuhkan dengan tujuan membangkitkan kembali umat Islam dari kemerosotannya yang parah, membebaskan mereka dari cengkaman idea, sistem perundangan dan sekularisma. Kemudiannya bersama-sama membangun kembali Daulah Islamiyah di muka bumi dalam naungan Khilafah Islamiyah ‘ala Minhaj al-Nubuwah untuk mempraktikkan hukum-hukum dan syariat Islam berdasarkan wahyu Allah SWT. 

Memang nampak tujuan pergerakannya seolah-olah satu gerakan Islam yang murni dan benar, namun sebenarnya mereka menyemai benih-benih ekstremisme, kebencian kepada kerajaan yang memerintah dan anti sistem Barat dan demokrasi yang boleh melahirkan bibit-bibit radikalisme, ekstremisme dan terorisme yang amat membahayakan.

Hizbut Tahrir merupakan gerakan Islam transnasional yang paling spektakular berbanding dengan gerakan yang lain. Dalam beberapa tahun sahaja semenjak pertubuhannya, Hizbut Tahrir telah mula berani memunculkan identiti sebenar bukan sahaja di Malaysia malah juga di seantero dunia.

Jika dilihat dari tujuan ini sudah tentunya sesiapapun harus setuju dan mendukung cita-cita yang sedemikian. Namun, disebalik agendanya itu, pergerakan Hizbut Tahrir masih mempunyai beberapa ideologi yang tidak selari dengan pemahaman majoriti beragama Islam khususnya dalam konteks rakyat Malaysia iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Hal inilah yang menyebabkan beberapa negeri di Malaysia mengambil langkah untuk mengharamkan pergerakan Hizbut Tahrir. Dikhuatiri pergerakan tersebut bukan hanya berdakwah dengan jalan yang biasa, sebaliknya mula mengumpulkan anggota dan mendapat sokongan rakyat khususnya yang mana akhirnya terarah untuk menjalankan aksi yang lebih ganas demi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, sudah pasti pasukan keselamatan negara perlu sentiasa memantau pergerakan Hizbut Tahrir ini setiap masa kerana jika tidak dikenalpasti dari awal dikhuatiri ia akan menjadi seperti bom jangka yang akhirnya memusnahkan keharmonian negara.

Sumber: Jurnal Islamuna, Volume 2(1), Jun 2015.


Comments