BELAJARLAH DARIPADA SEJARAH!!! BANGSA PENJAJAH TIDAK PERNAH BERPUTUS ASA UNTUK MENGKRISTIANKAN UMAT ISLAM MESKIPUN SUDAH LAMA MERDEKA

Dalam menguasai negara Islam, kuasa-kuasa penjajah Kristian Barat menggunakan pola atau strategi yang berbeza. Sebagai contoh, Portugis dan Sepanyol lebih terkenal dengan kekerasan atau paksaan kerana terbawa-bawa dengan semangat dendam kesumat yang tidak pernah padam terhadap umat Islam. Belanda pula dengan amalan diskriminasi terhadap penduduk Islam. Perancis dan Itali mengamalkan penguasaan secara langsung. Pihak Inggeris atau British lebih suka menggunakan penguasaan secara tidak langsung dan perjanjian persahabatan. Manakala Amerika Syarikat lebih suka menggunakan corak dan penegakan kerajaan boneka.

Walaupun strategi penguasaan kuasa-kuasa Kristian tampak berbeza tetapi matlamatnya adalah sama sebagaimana pendapat Livingstone: “Tujuan dan akhir dari penaklukan geografi adalah permulaan perusahaan Kristian”. Sebagaimana Tanah Melayu yang dahulunya dijajah oleh Inggeris, mereka menganggap penjajahan merupakan suatu usaha agama Kristian untuk memperkenalkan ‘nilai-nilai mulia’ yang ada pada bangsa kulit putih.

Tujuan usaha ini dilakukan ialah untuk menghapuskan kebudayaan dunia dan menggantikan dengan kebudayaan Eropah, menindas negara-negara lemah dan mengekalkan kelemahan tersebut. Matlamatnya supaya agama, politik, kebudayaan serta segala sistem pentadbiran, perundangan dan pendidikan yang dihasilkan adalah berasaskan ala Eropah iaitu pengabdian kepada agama Kristian dan sistem sekular. 

Oleh sebab itu, Inggeris sedia memberikan kemerdekaan kepada semua jajahannya dengan segera sesudah membentuk satu generasi intelektual, ilmuwan dan ahli politik yang melalui pendidikan Inggeris ditanamkan cita-cita budaya Inggeris, bersiap sedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Hasilnya, agama Kristian dengan mudahnya tersebar kepada penduduk tempatan, Bahasa Inggeris diajarkan secara meluas di sekolah-sekolah dan menjadi Bahasa utama untuk berkomunikasi dengan penjajah dan anak-anak bangsa Melayu dihantar belajar ke negara-negara penjajah sebagai persiapan menjadi pemimpin sebaik sahaja Tanah Melayu diberikan kmerdekaan kelak.

Dengan cara westernisasi tersebut, penjajahan ke atas negara-negara Islam walaupun pada zahirnya sudah berakhir dengan pengisytiharan kemerdekaan tetapi sebenarnya penjajahan itu tetap berterusan dan proses Kristianisasi juga dengan sendirinya belum berakhir sehingga kini.   

Gerakan ini tidak akan berakhir selagi mana umat Islam masih berpegang teguh kepada akidah Islam. Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t melalui firmanNya dalam surah al-Baqarah, ayat 120 bermaksud “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)”


Sumber: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya

Comments