BERDOALAH UNTUK KEBAIKAN BUKAN UNTUK KEBURUKAN KERANA ALLAH SWT AMAT MURKA KEPADA SESIAPA YANG BERDOA UNTUK KEBURUKAN
Hakikat kehidupan manusia di dunia ada yang manis, ada yang pahit, ada yang selalu dalam kegembiraan, ada yang terpalit kesusahan dan ada yang dalam keadaan sederhana sepanjang masa. Namun setiap apa yang ditentukan oleh Allah SWT pasti tidak lain tidak bukan untuk menguji hambaNya, yang manakah betul-betul beriman dan amalan yang paling mulia di sisi Allah.
Walaupun keadaan kehidupan kita semakin pulih daripada kesusahan yang melampau dua tahun kebelakangan ini, namun, setiap kesusahan tersebut tidak boleh diakhiri dengan kematian yang dianggap penyelesaian kepada semua perkara. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya, janganlah setiap kamu mahukan kematian kerana adanya sesuatu kesusahan hidup yang menimpanya. Apabila dia memang mahukan kematian tersebut, hendaklah dia berkata: "Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu baik bagiku dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku." (HR Bukhari dan Muslim).
Mengapa umat Islam dilarang meminta-minta akan kematian? Pertama, ia seolah-oleh menunjukkan kita tidak redha akan qada’ dan qadar Allah SWT dan tidak boleh menerima takdir yang telah ditetapkan dalam hidup kita. Yang menjadi kewajipan bagi seorang Muslim adalah bersabar dalam menghadapi musibah. Kewajipan sabar ini berdasarkan ijma’ ulama. Yang lebih utama dari sabar adalah bersikap redha terhadap musibah atau takdir dari Allah SWT. Redha terhadap musibah hukumnya sunnah menurut pendapat yang paling kuat.
Yang kedua, berdoa meminta kematian tidaklah mendatangkan maslahat, namun di dalamnya masih terdapat mafsadah (keburukan), iaitu meminta hilangnya nikmat kehidupan dan berbagai manfaat yang diberikan Allah SWT. Hal ini selari dengan sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Janganlah seseorang mengharapkan kematian dan janganlah meminta mati sebelum datang waktunya. Kerana orang mati itu amalnya akan terputus, sedangkan umur seorang Mukmin tidaklah bertambah melainkan akan menambah kebaikan.” (HR Muslim).
Justeru, sebanyak manapun ujian dan cabaran yang ditempuhi di atas dunia, kesemuanya untuk meningkatkan darjat dan ketakwaan seseorang. Dengan ujian itu jugalah, gugurnya dosa-dosa yang sentiasa dilakukan. Semoga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Walau apa jua yang berlaku dan kepayahan apa yang dilalui oleh kita, jangan sesekali kita meminta kematian disebabkan hal-hal dunia. Ini kerana Allah SWT amat memurkai hambaNya yang bersoa untuk keburukan diri sendiri.
Sumber: Sinar Harian (28 Mei 2019)
Comments
Post a Comment