BIAR MATI ADAT, JANGAN MATI SYARIAT!!! AJARAN SESAT BUKAN SAHAJA MEMBAHAYAKAN AKIDAH MALAH MEMBAWA KECELARUAN DALAM MASYARAKAT. KENAPA MASIH ADA YANG TERPENGARUH???

Kemunculan ajaran sesat di negara ini seperti cendawan tumbuh dan mendapat dokongan daripada sebahagian umat Islam di negara ini meskipun ajaran tersebut bercanggah dengan logik akal, apatah lagi bercanggah dengan syariat Islam seperti pemimpinnya mengaku Tuhan atau Nabi, semua pengikut akan masuk syurga, boleh berzina, tak perlu solat, mengamalkan ritual yang pelik-pelik  dan sebagainya lagi. 

Ajaran sesat tidak akan bertapak, berkembang dan tersebar tanpa adanya sebarang sebab atau faktor yang mendorong munculnya ajaran tersebut. Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan ajaran sesat semakin berkembang di negara ini. Antaranya ialah  kelemahan sistem pendidikan Islam, kelemahan menangani unsur negatif media massa, kelemahan menjauhkan pengaruh budaya Barat dalam kehidupan masyarakat hari ini dan kelemahan membasmi kepercayaan purba serta adat istiadat yang menyalahi Islam dalam kehidupan seharian adalah antara faktor yang menjadi penyumbang kepada perkembangan ajaran sesat di negara ini.

Biarpun kerajaan berusaha menyemarakkan usaha dakwah menerusi pelbagai medium dan perancangan di segenap peringkat, namun masih ada kumpulan ajaran sesat yang berjaya menembusi golongan sasaran terutama menerusi kaedah dan pendekatan tertentu seperti perbomohan dan rawatan tradisional, ilmu persilatan, tarikat sesat dan pengamalan amalan tertentu seperti pemujaan, amalan zikir beramai-ramai  yang pelik-pelik dan menyimpang daripada ajaran Islam dan berbagai amalan khurafat yang lain.

Walaubagaimanapun, faktor yang paling utama kenapa seseorang boleh terpengaruh dengan ajaran sesat adalah kerana kejahilan ilmu agama dan akidah yang rapuh sehingga begitu mudah terpengaruh walaupun ajaran tersebut sangat bertentangan dengan ajaran Islam dan bertentangan dengan logik akal yg sihat. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk menuntut ilmu dengan guru yang benar-benar terbukti sahih mengikut ajaran Islam yang sebenar supaya akidah tidak mudah terpesong dengan hasutan atau sesuatu ajaran baru yang boleh menyesatkan. 

Sesungguhnya akidah, syariat dan akhlak Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah berperanan menyatupadukan umat dan menjamin keamanan serta kestabilan negara. Manakala ajaran atau fahaman menyeleweng dan sesat yang berlainan daripadanya serta berbeza daripada pengamalan biasa masyarakat Islam di negara ini dianggap sebagai usaha untuk mengacaubilaukan kestabilan dan keharmonian negara. Ini menunjukkan ajaran sesat bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap akidah individu tetapi juga kepada keharmonian keluarga, masyarakat dan negara.

Sumber: Jurnal Syariah, Jil. 18, Bil. 2 (2010) dan Majlis Agama Islam Selangor


 

Comments