CARILAH KEREDHAAN ALLAH SWT KERANA IA ADALAH SYARAT SEBAGAI JAMINAN UNTUK KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT

 


Setiap manusia hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT kerana keredhaan Allah SWT itu adalah kemuncak pengharapan manusia yang hidup di muka bumi ini. Asas keredhaan Allah SWT dapat dicapai dengan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.


Mencari keredhaan merupakan salah satu daripada ciri atau sifat yang terpuji. Ini kerana, kita dituntut untuk sentiasa mencari keredhaan Allah SWT dan juga keredhaan orang yang berada di sekeliling dengan kita. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.” (HR al-Tirmizi).


Oleh itu, sebagai seorang Mukmin, misi utama kehidupan kita adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT dan usaha itu perlu dilakukan sepanjang kehidupan kita dengan mengerjakan amal kebaikan dan meninggalkan amal keburukan yang dimurkai Allah SWT. Firman Allah SWT:


“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta terus takut dan mereka pula sentiasa khusyuk kepada kami.” (QS Al – Anbiya: 90).


Dunia ini pada hakikatnya adalah tempat Mukmin berlumba menuju kemenangan, kejayaan, kecemerlangan dengan mengerjakan amal kebaikan untuk meraih ketakwaan. Sabda Rasulullah SAW:


“Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada, ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, nescaya akan jadi penggantinya dan berinteraksilah sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmizi). 


Walaupun mencari redha manusia juga sifat terpuji yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang beriman tetapi mencari keredhaan Allah SWT adalah yang paling utama berbanding mencari keredhaan manusia itu sendiri. Hal ini adalah seperti sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang dinyatakan sebelum ini iaitu:


“Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.” (HR At-Tirmizi).


Disebabkan mencari keredhaan Allah SWT adalah salah satu daripada ciri orang bertakwa dan sifat yang terpuji, maka kita dituntut untuk menumpukan seluruh usaha dan amalan kita untuk sentiasa mencari redha Allah SWT dengan melakukan apa yang Allah perintahkan dan meninggalkan apa yang Allah SWT larang. Oleh itu, ayuhlah kita tumpukan segala usaha kita untuk memburu keredhaan Allah SWT dalam usaha memperoleh pahala dan ganjaran syurga di akhirat kelak. Orang yang terus menerus mencari keredhaan Allah SWT sangat dipandang mulia di sisi Allah SWT. Jangan sia-siakan peluang yang masih tersisa ini agar hidup kita sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT.


Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Comments